Umum mengetahui tikus adalah binatang yang sinonim dengan kekotoran.
Jadi apabila ia ditemui bersama makanan maka jelas, ada isu kebersihan di situ.
Sepatutnya bila ditegur tentang ini maka pihak berkaitan harus ambil berat dan meminta maaf kepada pelanggan.
Tapi bila ia sebaliknya diambil sambil lewa, tak hairanlah pelanggan berasa geram lalu berkongsi perkara ini di Facebook.
Dalam satu status Facebook Isnin lalu, seorang pelanggan sebuah pasar raya ternama memuat naik gambar tikus terdapat di celah rak sayur.
Tikus yang ditemui ini pula bukanlah tikus comel warna putih tu tapi tikus mondok yang biasa hidup dalam sampah di tempat kotor dan diketahui boleh jadi pembawa penyakit.
Hal ini menimbulkan rasa jijik lalu pelanggan memberitahu seorang pekerja Bangladesh di sana agar memberitahu perkara ini kepada pengurus.
Pekerja itu bagaimana pun hanya memberitahu pekerja di kaunter timbang untuk memeriksa. Apa yang mengecewakan pekerja tersebut tidak menunjukkan riak terkejut langsung tentang penemuan tikus ini malah tidak pula meminta maaf kepada pelanggan.
Apa yang kami nampak ada DUA perkara penting yang boleh diambil pengajaran daripada insiden ini.
Pertama mana-mana syarikat harus mendidik pekerja agar tahu undang-undang asas perniagaan iaitu pelanggan harus dilayan sesopan mungkin dan kedua, sila cuci sayur yang dibeli betul-betul sebelum dimasak untuk hidangan keluarga tak kira bagaimana segar ia kelihatan pada pandangan mata anda.
Tikus amat berbahaya kerana air kencingnya boleh jadi punca penyakit yang membawa maut. – MYNEWSHUB
REM RAMZI/MYNEWSHUB.CC