Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian fenomena alam puting beliung di Pendang, Kedah sehinggakan gambar dan video kejadian itu tersebar menjadi viral di laman facebook hingga orang ramai mula khuatir terhadap fenomena itu.
Semalam ,satu kejadian mengemparkan penduduk sekitar Bintulu ,Sarawak apabila fenomena puting berliung terjadi kira-kira pukul 10.30 pagi berikutan angin kencang.
Fenomena puting beliung itu dapat dilihat jelas oleh orang awam di kawasan sekitar Kidurong, Bintulu.
Insiden puting beliung itu sempat dirakam oleh penduduk sekitar Bintulu dan tersebar di laman sosial.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Sarawak memberitahu kejadian ini berlaku selama 10 -15 minit.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Menurut makluman rasmi daripada Jabatan Meteorologi Sarawak pada 18 Oktober 2014, fenomena puting beliung itu dikenali sebagai Belalai Air atau Waterspout.
Fenomena ini dikatakan sering melanda di negara tropika seperti Malaysia.
Fenomena Belalai Air tidak menjejaki tanah dan tidak menyebabkan kemusnahan  namun, masih boleh mendatangkan bahaya pada orang awam.
Walaubagaimanapun, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini anda diminta sentiasa berhati-hati.-MYNEWSHUB.CC
Sementara itu, laporan Bernama petang ini mengesahkan kejadian yang berlaku dan berkata ia dikenali sebagai Fenomena ‘belalai air’ iaitu pusaran angin yang hanya berlaku di permukaan air.
Selain Bintulu, fenomena yang sama turut melanda Bandaraya Miri yang mana kedua bandar itu terletak dalam kawasan pesisiran utara Sarawak.
Fenomena yang pada mula menimbulkan keresahan penduduk di sekitar kawasan terbabit, sehinggakan ramai yang berkongsi gambar dalam media sosial seperti Facebook serta Twitter, namun ia berakhir dengan kelegaan apabila tiada kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Belalai air paling jelas dapat dilihat di Bintulu manakala di Miri hanya dapat dilihat di kawasan Niah dan mengikut saksi, fenomena belalai air di Bintulu berlaku antara 8.30 pagi dan 10 pagi.
Francis Ngu, 39, yang telah menetap di Bintulu lebih 20 tahun berkata, ketika kejadian cuaca amat gelap dan kebanyakan orang berkejar ke Kidurong untuk melihat sendiri fenomena berkenaan.
“Saya dimaklumkan oleh rakan serta melihat gambar dikongsi dalam media sosial dan saya terus memandu ke Kidurong untuk melihat sendiri fenomena tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Francis berkata, fenomena tersebut berlaku dalam tempoh tidak sampai 20 minit namun mengakui ia pengalaman menakutkan kerana bimbang ia akan berlanjutan ke darat dan membahayakan penduduk.
“Saya dah lama menetap di Bintulu dan ini pertama kali saya menyaksikan kejadian ini,” katanya.
Mohd Zaidi Amri, 40, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Miri dari Sibu turut menyaksikan fenomena tersebut dan menganggap ia pengalaman menakutkan.
“Saya selalu tengok cerita kat televisyen, kejadian ini tak sangka boleh berlaku kat sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hata Gobel berkata setakat petang ini, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berkaitan
fenomena berkenaan.
Jurucakap Jabatan Meteorologi di Kuching ketika dihubungi berkata belalai air atau puting beliung kecil biasanya berlaku di kawasan pesisiran pantai dan ia akan hilang apabila menghampiri permukaan darat dan tidak membawa bencana.
Oleh : Farah Radzi