Penularan virus berbahaya Ebola amat digeruni masyarakat dunia kerana hingga kini, beribu kematian dikatakan dicatat gara-gara jangkitan penyakit ini.
Belum pun reda kisah menyayat hati seorang jururawat sukarelawan Ebola yang turut diserang penyakit ini, satu lagi kes serupa turut menimpa seorang doktor di New York.
BACA : [ VIDEO : Tangisan Jururawat Yang Kini Pesakit Ebola, Nina Pham ]
Dr. Craig Spencer, 33, pada awalnya dikejarkan ke Bellevue Hospital di New York kerana mengalami demam dan selsema yang teruk namun akhirnya pihak hospital mengesahkan beliau positif dijangkiti penyakit itu.
Dr. Spencer dikatakan baru pulang 10 hari dari Afrika kerana merawat pesakit Ebola di negara terbabit.
Ini sekali gus menjadi kes pertama Ebola yang pernah dilaporkan di bandar terkenal, New York.
Teman wanita Dr. Spencer yang tinggal bersamanya dalam satu rumah turut dikuarantin kerana mungkin turut dijangkiti penyakit itu.
Kini pihak berkuasa New York sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui tempat yang mungkin dikunjungi oleh Dr. Spencer kerana khuatir orang awam turut dijangkiti penyakit itu.
Pihak hospital New York turut mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia akan sebarang kemungkinan jika ada lagi pesakit Ebola dilaporkan. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : FARAH RADZI