KUALA LUMPUR – Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) tidak terlibat dalam penganjuran diskusi meja bulat mengenai fundalisme agama oleh Islamic Renaissance Front (IRF) pada 18 Oktober 2014.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, IRF pernah membuat permohonan menggunakan premis GMM untuk mengadakan program itu tetapi ditolak kerana GMM akan menganjurkan bengkel media pada tarikh tersebut.
“GMM tidak terlibat sejak awal dengan program tersebut. Kami bukan penganjur bersama. Penganjurnya IRF ingin menggunakan premis kami tetapi kami tidak menyediakannya.
“IRF mengiklankan program tersebut tanpa pengetahuan kami. Pada pagi 7 Oktober 2014 kami mengetahui akan iklan tersebut apabila ada yang menghubungi kami. Kami terus maklumkan kepada IRFyang kami tidak dapat menyediakan premis untuk program itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada tiga pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang datang ke premis GMM untuk mengetahui tentang perkara itu pada 9 Oktober lalu. – mynewshub.cc