Akibat persaingan sengit dalam perniagaan, ada segelintir peniaga sanggup melakukan apa sahaja untuk melariskan jualan tanpa memikirkan implikasinya terhadap pengguna.
Tetapi, bukanlah semua peniaga pisang menggunakan taktik ini, hanya sebilangan kecil sahaja.
Dikhabarkan, teknik menggoreng pisang menggunakan plastik diaplikasikan peniaga pisang goreng untuk merangupkan dan mengkilatkan gorengan tersebut. Betul ke?
Taktik licik ini dikatakan telah lama digunakan di negara seberang dan ia makin menular ke sini.
Mereka menggunakan penyedut air, bekas minuman dan plastik minyak dan menggoreng terus di dalam minyak panas bersama pisang bagi memudahkan proses salutan bahan plastik tersebut.
Kaedah ini dipercayai mampu menjejaskan kesihatan terutamanya bahagian organ dalaman kerana reaksi terhadap kandungan plastik yang mengandungi pelbagai bahan kimia boleh merosakkan sistem badan manusia.
Bagi mengenal pasti sama ada terdapat kandungan plastik dalam pisang goreng, ada pengguna mencadangkan teknik membakar pisang yang dibeli.
Kandungan plastik yang menyalut pisang goreng tersebut akan membolehkan pisang tersebut terbakar dan berbau. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR