KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April tahun depan, perlu dilihat secara holistik kerana melalui pelaksaanannya ia akan meningkatkan pendapatan negara bagi perbelanjaan untuk keperluan rakyat.
Pengarah GST Jabatan Kastam Datuk Subromaniam Tholasy berkata ini kerana hasil pendapatan cukai melalui GST dapat digunakan dalam bajet negara untuk tujuan mempertingkatkan infrastruktur, perkhidmatan, pendidikan, kesihatan dan pelbagai perancangan lain.
“Kita kena ambil kira aspek cukai yang akan digunakan oleh kerajaan adalah untuk menambah baik infrastruktur negara, kegunaan untuk pengagihan subsidi dan banyak lagi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata melalui tambahan hasil cukai itu, kerajaan mampu menyalur peruntukan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, penambahan subsidi kepada golongan keperluan seperti petani, nelayan dan penternak.
Katanya, berdasarkan kajian jangkaan untuk 2015, jumlah kutipan melalui sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada adalah sekitar RM20 bilion, malah hasil ini sudah tentu akan bertambah di bawah pelaksanaan GST.
Beliau berkata, menerusi GST juga, golongan peniaga tidak dapat mengelak daripada bayaran cukai kepada kerajaan kerana cukai itu dikenakan secara langsung.
Beliau berkata, kerajaan hampir kerugian sekitar RM2.02 bilion akibat perbuatan lebih 1,700 syarikat pelbagai sektor yang dikesan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cuba lari cukai dalam tempoh tiga tahun sejak 2011.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi merangkap Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berkata rakyat secara amnya mungkin tidak dapat merasai manfaaat GST dalam masa singkat kerana ia rancangan jangka panjang.
Katanya, sistem GST telah diguna pakai di hampir 90 peratus negara di seluruh dunia dan ia terbukti berjaya dan diterima baik rakyat negara berkenaan.
“Sebagai contoh di New Zealand, pelaksanaan GST telah berjaya membenarkan kerajaan mereka melabur dalam aspek pendidikan, pembangunan pertanian, infrastruktur dan prasarana yang baik, walaupun penduduk negara itu (New Zealand) hanya sekitar 4.5 juta,” katanya. – BERNAMA