KUALA LUMPUR – Wanita MCA dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan Program Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Online di seluruh negara mulai November depan sebagai galakkan supaya lebih ramai peniaga Industri Kecil dan Sederhana (SME) mendaftarkan perniagaan mereka.
Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie, berkata langkah itu juga bagi membolehkan urusan pendaftaran syarikat SME dengan GST dibuat menerusi dalam talian kerana cara itu lebih mudah.
“Sekarang ini kita dapati syarikat yang wajib berdaftar (GST), 90 peratus adalah SME, (daripada jumlah itu) 80 peratus daripada mereka adalah peniaga Tiong Hua.
“Oleh itu wanita MCA akan bekerjasama dengan KDRM adakan GST Online di seluruh negara untuk sediakan satu platform bagi memudahkan peniaga SME ini bawa bersama dokumen untuk mendaftarkan GST secara online,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Wanita MCA di Ibu pejabat parti itu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, penetapan kadar enam peratus terhadap GST dibuat selepas kajian teliti dilakukan kerajaan dan ia dianggap antara yang terendah di dunia serta munasabah.
Menyentuh hal ehwal pemerkasaan wanita, Seai Kie berkata sayap parti itu akan terus berusaha meningkatkan status wanita dalam kalangan masyarakat, termasuk mencapai tahap pembabitan 30 peratus golongan itu dalam pelbagai bidang termasuk politik.
“Saya seru semua parti komponen dapat terapkan dasar ini (pembabitan 30 peratus) ke dalam parti politik terutama menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk menambah bilangan calonnya untuk bertanding sama ada di kerusi parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
“Saya juga seru semua NGO (badan bukan kerajaan) ubah suai dan kemaskinikan perlembagaan sedia ada mereka agar secara automatik memberi ruang kepada wanita untuk diangkat menerajui jawatan utama terutama Naib Pengerusi bagi NGO,” katanya. – BH Online