KUALA LUMPUR – Langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu menyenaraikan penghutangnya dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) satu perbuatan tidak bermoral jika dilaksanakan.
(BACA – KJ Saran Peminjam PTPTN Bayar Hutang, Elak Di “CCRISS” Kan… KLIK)
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa, perbuatan itu jika dibenarkan kerajaan sangat tidak bermoral kerana memangsakan rakyat manakala peminjam besar dalam kalangan krooni tidak dikenakan tindakan seperti itu.
“Saya percaya rakyat umumnya marah apabila kerajaan melalui PTPTN mengambil cara kasar mahu mengutip hutang berjumlah beberapa ribu ringgit daripada rakyat biasa sedangkan tindakan sebegitu tidak pula dikenakan kepada peminjam-peminjam besar dari kalangan kroni.
“Sebab itu saya berpendapat adalah tidak bermoral untuk mengejar peminjam PTPTN sebegini rupa sedangkan penghutang besar negara daripada kalangan kroni dimanjakan,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, beliau bersetuju bahawa hutang PTPTN perlu dibayar tetapi ada cara lain yang boleh digunakan oleh PTPTN tanpa perlu menganiaya peminjam melalui tindakan menyenaraikan nama mereka dalam CCRIS.
Dakwanya, ada cara-cara lain yang lebih berhemah untuk mengutip hutang itu seperti menetapkan kriteria pendapatan boleh belanja yang mengasingkan di antara peminjam tegar yang mampu membayar tetapi enggan membayar daripada peminjam yang betul-betul tidak mampu.
Sebagai contoh, katanya, peminjam-peminjam PTPTN wanita yang kini menjadi suri rumah dan mempunyai tanggungan besar lebih sukar membayar berbanding seorang yang telah mengusahakan perniagaan besar.
Beliau turut mencadangkan PTPTN mengambil pendekatan Australia iaitu hanya peminjam yang telah mencapai gaji tertentu yang wajar membayar atau dikutip hutangnya.
“Oleh itu saya mencadangkan supaya hanya peminjam yang pendapatan boleh belanja bulanan melebihi RM1,000 sebulan (setelah mengambil kira bilangan anak dan tanggungan) yang perlu ditumpukan oleh PTPTN untuk mengutip hutang,” katanya.
Katanya, PTPTN perlu menghubungi peminjam dan merundingkan jadual bayaran dan jika enggan mengiklankan nama-nama mereka sebagai penghutang tegar di dalam akhbar-akhbar dan media harian sebagai cara untuk mendesak mereka membayar.
“Cara ini sudah pun digunakan oleh badan-badan biasiswa seperti Petronas, Mara dan lain-lain untuk mengutip hutang pendidikan,” katanya. – mynewshub.cc