KUALA LUMPUR – Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa hanya 33 peratus daripada ekonomi negara dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk gaji.
Beliau mendakwa, penjanaan ekonomi negara yang selebihnya disimpan syarikat sebagai untung dan kerajaan sebagai cukai.
“Sebab itu gaji tidak naik. Negara maju mencecah 66 peratus. Sebab gaji tidak naik inilah harga minyak naik sikit pun dah membebankan,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dipercayai mengkritik langkah kerajaan mengurangkan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter sejak beberapa hari lalu.
Kerajaan bagaimanapun telah memberi jaminan akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan dengan berhati-hati dan secara berperingkat.
Ia bagi memastikan kesan minimum terhadap ekonomi selain tidak membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Kerajaan turut menegaskan kerajaan akan terus menyediakan bantuan dan insentif untuk meringankan beban rakyat. – mynewshub.cc