PUTRAJAYA – Perhimpunan hari ketiga di hadapan Istana Kehakiman oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sambutan berbanding Rabu.
Setakat pukul 9 pagi, tidak sampai 50 orang berkumpul di kawasan itu berbanding hampir 400 orang semalam sehingga cuba mencetuskan provokasi terhadap anggota polis yang berkawal.
Anwar yang merupakan Penasihat PKR juga tidak kelihatan berada di situ seperti sebelum ini, yang akan bertemu penyokongnya dahulu sebelum memasuki bangunan tersebut.
Malah hanya pengamal media yang memenuhi kawasan berkenaan sejak pagi serta polis masih berkawal seperti biasa.
Sementara itu, kawasan di tepi Istana Kehakiman di sini dipasang pita kuning bagi menghalang penjaja berniaga di kawasan itu yang mula berniaga sejak semalam.
Turut diletakkan ‘Notis dilarang menjaja tindakan kompaun dan sitaan UUK3 Akta Kerajaan Tempatan’.
Semalam, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat memberi amaran kepada penjaja yang membuka gerai makanan dan minuman tanpa kebenaran PPj di situ supaya menghentikannya sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang.
Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan terakhir Anwar, 67, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. – BERNAMA