JOHOR BAHARU – Seorang ibu tunggal berdepan dengan ancaman ‘Along’ angkara hutang bekas penyewa rumahnya.
Wanita berumur 52 tahun itu yang mahu dikenali sebagai “Lee” berkata, kegagalan penyewa rumahnya “Ah Jack” menjelaskan pinjaman kepada Along telah menyebabkan rumahnya dibaling cat sebanyak dua kali dan bom petrol atau molotov cocktail juga dua kali.
“Dua kejadian dibaling cat berlaku pada 2 dan 7 Okt lepas manakala dua botol berisi minyak petrol juga dibaling dan menyebabkan kebakaran di sebahagian kecil rumah saya,” katanya kepada pemberita di Pejabat MCA di sini hari ini.
Menurutnya kejadian berlaku pada awal pagi dan ketika itu beliau tiada di rumah dan hanya mengetahuinya selepas jiran memaklumkan tentang kebakaran yang berlaku di halaman rumahnya.
Lee berkata sehingga kini Ah Jack gagal dihubungi bagi menyelesaikan masalah ini, dan meminta bekas penyewa rumahnya itu menjelaskan pinjamannya kepada Along supaya ia tidak melibatkan dirinya.
Sepanjang menyewa bilik di rumahnya, Lee berkata Ah Jack tidak pernah menangguh pembayaran sewa bilik sebanyak RM500 bulan.
Sementara itu, Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan MCA Michael Tay Chee Boon berkata, tindakan Along terbabit sangat biadab dan tidak memikirkan nyawa orang lain.
“Kejadian seperti ini sangat membahayakan nyawa orang lain dan Along tidak sepatutnya bertindak ganas seperti ini bagi menuntut kembali wang daripada peminjam,” katanya.
Beliau memberitahu kaedah dilakukan Along itu tidak mendatangkan hasil malah mengundang kebimbangan tuan rumah itu yang secara tidak langsung turut terlibat. – BERNAMA