KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM1.04 bilion yang diluluskan kerajaan kepada Jabatan Imigresen (imigresen) dalam Bajet 2015 akan dibelanjakan mengikut keperluan perbelanjaan mengurus dan pengoperasian jabatan itu.
Imigresen dalam satu kenyataan memberitahu, perbelanjaan itu telah dikaji secara mendalam dengan mengambil kira keperluan semasa serta tambahan perbelanjaan termasuk untuk rancangan penambahbaikkan jabatan tersebut.
“Agihan peruntukan yang diperoleh oleh imigresen bagi tahun 2015 seperti yang di bangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPSIM) adalah mengikut keperluan perbelanjaan mengurus dan pengoperasian Imigresen.
“Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh wakil KPISM di dalam sidang media tersebut turut diberi perhatian dan ada diantaranya sudah dalam perancangan dan juga dalam tindakan imigresen,” kata kenyataan itu hari ini.
Imigresen antaranya menjelaskan imigresen telah membuat kajian insentif penguatkuasaan RM200 yang dibangkitkan oleh KPISM dan kertas cadangannya telah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tambah kenyataan itu, imigresen mendapat peruntukan sebanyak RM3 juta untuk menyediakan makmal forensik di Akademi Imigresen Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi meningkatkan tahap profesionalisme anggota jabatan itu.
Selain itu, imigresen mendapat peruntukan RM11.33 juta di bawah inisiatif NBOS ‘MyBeautiful Malaysia’ bagi perbelanjaan pembaikan kuarters jabatan berkenaan di seluruh negara termasuk di negeri Johor, Selangor, Langkawi, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
“Imigresen sentiasa mengutamakan kebajikan kakitangan dan menambahbaik keperluan dalam menyampaikan perkhidmatan serta keperluan seluruh warga kerja melalui latihan, kajian dan perancangan strategik,” kata kenyataan itu.