Tindakan DAP menghalang akhbar tempatan membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang turut menyumbang kepada kejatuhan indeks kebebasan media di Malaysia.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membuat kenyataan itu sebagai membidas Ahli Parlimen (DAP-Taiping) yang mempersoalkan berkaitan Indeks Kebebasan Akhbar Negara (PFI) yang jatuh.
“Pulau Pinang ada arahan akhbar tertentu dilarang masuk, sudah ada sekatan.
“Tetapi kami kerajaan tidak melarang Malaysiakini dan media lain membuat liputan Dewan Rakyat, di Parlimen,” kata Shabery ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam indeks PFI, Malaysia berada pada tangga ke 147 di bawah Bangladesh dan Myanmar tetapi mendahului Russia dan Filipina.
Kedudukan Indeks Kebebasan Media (PFI) 2014
Pada 2012, Malaysia berkedudukan pada tangga 122 indeks berkenaan.
Beliau sebelum itu menjawab soalan tambahan daripada Nga yang ingin tahu tindakan yang dilakukan oleh kementerian untuk memperbaiki indeks kebebasan media di negara ini.
Dalam soalannya, beliau sempat mengatakan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat laporan berat sebelah apabila hanya menyiarkan berita berkaitan pemimpin kerajaan yang diterajui parti Barisan Nasional (BN).
“Apakah kebebasan akhbar adalah satu ciri-ciri menjadikan negara itu lebih baik?
“Di Asia Tenggara, kedudukan Reporters Without Borders yang terbaik adalah Timor Timur, adakah kita hendak jadi Timor Timur,” kata Shabery. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K