Nama pemimpin dari negara seberang, Jokowi menjadi titipan di setiap bibir gara-gara kisah kehidupannya yang dahulu susah hinggalah kini berjaya dalam karier politik dan dinobatkan sebagai Presiden Indonesia ketujuh.
Pastinya, kisah Jokowi dan keluarganya kini digali oleh media kerana keinginan untuk mengetahui tentangnya lebih dalam lagi.
Ini adalah salah satu kisah yang boleh dijadikan inspirasi iaitu mengenai putera sulung Jokowi iaitu Gibran Rakabuming Raka.
Memetik Sooperboy.com, Gibran dilahirkan pada 1 Oktober 1988 dan kini baru berusia 26 tahun.
Beliau tinggal dan mendapat pendidikan di sebuah sekolah di Singapura pada tahun 2002. Seterusnya melanjutkan pelajaran tingginya di University of Technology Insearch, Sydney.
Siapa sangka, setelah tamat belajar anak ahli politik terkenal ini berminat untuk menceburi bisnes makanan namun terbantut seketika gara-gara menghormati kedua ibu bapanya yang mempunyai bisnes bidang hartanah.
Namun kerana minat yang mendalam pada 2010, jejaka ini tetap berusaha membuka bisnes katering yang diberi nama Chilli Pari Catering Service. Nama ini katanya, menggambarkan keberanian dan kemakmuran gara-gara keberaniannya mahu berusaha masuk ke bidang ini dan melepaskan bayang-bayang orang tuanya yang sudah mempunyai nama besar ketika itu.
Uniknya, kerana modal yang tidak cukup Gibran sanggup menggunakan gudang pejabat ayahnya untuk dijadikan tempat memasak katering dan meminjam wang daripada bank bagi memulakan bisnes tersebut.
Bisnes yang dimulakan secara kecil-kecilan itu awalnya tidak dikenali malah menolak menggunakan manfaat nama ayahnya yang cukup dikenali kerana ketika itu ayahnya merupakan Wali Kota Solo.
Akhirnya berkat kesabaran, permintaan terhadap bisnesnya yang dahulu hanya kecil-kecilan akhirnya berjaya dan kini mendapat tempahan katering perkahwinan bagi ribuan orang sejak Januari 2011.
Hingga hari ini, Gibran masih melakukan pelbagai inovasi dan pembaharuan bagi mengembangkan kateringnya. Kini Chili Pari sudah mampu melakukan bisnes sebagai perancang perkahwinan pula.
Meskipun Gibran memiliki ayah yang sangat berpengaruh namun beliau lebih senang berusaha atas daya usaha tangan sendiri bagi membangunkan bisnes kateringnya.
Jadi, apa pula alasan kita untuk tidak berjaya? – MYNEWSHUB.CC
Oleh: KAKAK BUNGA