Hujung minggu lalu pasti terisi dengan penuh keseronokan buat para penggiat dan peminat seni yang menghadiri Karnival ARTFEST 2014 bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Karnival anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist Production dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UiTM yang dijalankan bermula 24 hingga 26 Oktober 2014 itu menyajikan pelbagai cabang seni secara percuma kepada orang awam baik peminat, mahupun penggiat seni tanah air.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan bukan sahaja daripada kalangan pelajar UiTM, malah turut melibatkan nama-nama besar dalam bidang industri seni tempatan bagi memeriahkan lagi karnival seni gilang-gemilang tersebut.
Menariknya, aktiviti seni yang dijalankan termasuklah permentasan teater, bacaan puisi, persembahan tarian, kugiran atau band, sesi melakar atau ‘doodle’, pertunjukan fesyen dan pengucapan awam membincangkan topik berkaitan seni yang diadakan secara santai.
Apa yang lebih istimewa, aktiviti seni yang jarang diadakan dimana-mana acara seni lain seperti bengkel ‘mime’ (lakonan tanpa suara secara komedi senyap) dan bengkel ‘mobilegraphy’, iaitu teknik menyunting gambar secara kreatif dan cantik menggunakan aplikasi telefon pintar turut diadakan dan menjadi kesukaan anak muda yang menghadiri ARTFEST 2014.
Pengarah Projek ARTFEST 2014, Rul Iman Nur Rahidzab atau Iman menjelaskan, ARTFEST 2014 diadakan bagi menyediakan ruang secara percuma kepada pencinta bidang seni tempatan mengeskpresikan diri dan menunjukkan masyarakat interpretasi mereka berkenaan seni budaya.
“Selain itu, kami juga membuka peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil untuk memasarkan produk seperti buku-buku, hasil kraftangan, makanan dan pakaian,†katanya.
Dalam pada itu, Presiden Anomalist Production, Muhamad Adli Aiman Ahmad atau lebih mesra disapa Adli berkata ARTFEST 2014 merupakan sebuah lagi kejayaan buat Anomalist Production sebelum melangkah ke tahun 2015.
Semoga festival seperti ini mampu memartabatkan dunia seni seterusnya melahirkan anak-anak muda yang hebat berkarya demi negara! – MYNEWSHUB.CC
ÂÂ