KUALA LUMPUR – PricewaterhouseCoopers (PwC) berharap Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menjelaskan isu-isu peralihan yang mungkin timbul dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Pengarah Eksekutif, Hanita Ahmad berkata, isu itu mungkin melibatkan transaksi yang dibuat sebelum pelaksanaan GST dan penghantaran barangan selepas 1 April, 2015.
“Ini merupakan antara perkara yang kami bimbang akan menyukarkan perniagaan untuk beroperasi dan akhirnya, memberi kesan kepada pengguna,” katanya pada taklimat media mengenai pelaksanaan GST di sini hari ini.
Isu lain, katanya, termasuklah penyewaan rumah kediaman yang dilengkapi perabot tertakluk kepada GST, manakala rumah kediaman dikecualikan daripada cukai.
“Cabaran utama ialah menentukan produk mana yang tertakluk kepada cukai enam peratus itu dan sebaliknya. Misalnya tepung beras tidak dikenakan GST, manakala tepung jagung akan tertakluk kepada GST.
“Peniaga perlu memastikan bahawa mereka mengenakan cukai yang betul bagi barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah mengumumkan bahawa cukai jualan akan dipulangkan bagi inventori sehingga 31 Mac, 2015.
“Bagaimanapun, berikutan banyak perniagaan beroperasi atas terma kredit, tidak dapat dipastikan sama ada mereka perlu membayar kepada pembekal bagi produk berkenaan pada tarikh tersebut untuk melayakkan pembayaran balik.
“Berhubung invois, peniaga perlu diberi jaminan bahawa mereka boleh mengenakan GST bagi barangan dan perkhidmatan yang disediakan selepas 1 April.
Ini merupakan cabaran bagi perniagaan yang mengeluarkan invois lebih awal, berikutan GST hanya boleh dikenakan selepas 1 April,” katanya.
Hanita berkata, banyak syarikat masih tidak benar-benar memahami mengenai CBP dilaksanakan, melihatnya sebagai langkah pematuhan, dan bukan cukai progresif yang akan memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang.
“Penting bagi peniaga untuk benar-benar memahami mekanisme CBP berikutan ia mempunyai implikasi yang luas ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Memandangkan ini ialah cukai baharu, diharapkan kerajaan akan menggunakan budi bicara dengan tidak menghukum perniagaan atas kesilapan yang tidak disengajakan dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaannya,” katanya. – BERNAMA