PASIR PUTEH – Jabatan Perikanan Kelantan menahan empat bot laut dalam kerana menggunakan saiz mata pukat keroncong tunda kurang daripada 38 milimeter yang boleh menyebabkan kepupusan ikan dalam tempoh terdekat.
Pengarahnya, Mohd Zin Saad berkata, penahanan itu dilakukan dalam Operasi Periksa yang disertai lima pegawai Unit Pengurusan Sumber jabatan itu yang diketuai Ketua Pengkalan Utama, Suhaimi Ali di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan (Lkim) Tok Bali semalam.
“Bot berkenaan yang kesemuanya bernilai lebih RM4 juta ditahan di Pelabuhan Lkim Tok Bali bagi pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Perikanan Tok Bali di sini hari ini.
Katanya, dalam operasi itu sebanyak 17 bot terutama bot Vietnam yang menggunakan lesen rakyat tempatan, diperiksa ketika cuba mendaratkan ikan di pelabuhan itu.
Turut ditahan lebih 40 nelayan Vietnam yang berumur antara 18 hingga 60 tahun bagi tujuan pemeriksaan. – BERNAMA