Masyarakat Cina di negara ini diingatkan bahawa mereka tidak boleh terus membuat tuntutan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi mereka menyokong Pakatan Rakyat (PR) dengan mengundi mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat peringatan itu ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-61 hari ini.
Najib berkata, bangsa Cina harus bersikap adil dengan menyokong parti pemerintah dan bukannya PR.
“Saya hendak lakukan lebih lagi, mungkin satu hari nanti saya mampu buat lebih lagi. Tetapi saya juga perlukan masyarakat Cina untuk menyokong BN. Adillah. Kamu kena mainkan peranan kamu juga.
“Kamu tak bolehlah buat tuntutan (dari BN) tapi kemudiannya sokong DAP. Kamu minta, kamu sokonglah BN, kita akan berlaku adil kepada masyarakat Cina,” kata Najib, memetik laporan The Malaysian Insider (TMI).
Selain itu, Najib dalam ucapannya juga memberi jaminan bahawa kerajaan BN akan terus melindungi dan memelihara hak pendidikan bangsa Cina di negara ini.
“Tolong jangan bimbang tentang sekolah Cina kerana ia sudah dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
“Malah ia juga termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara,” katanya dalam ucapan itu yang disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan yang hadir.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga meletakkan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai contoh terbaik seorang yang mampu bertutur pelbagai bahasa yang wajar menjadi ikutan.
“Liow menyampaikan keseluruhan ucapannya dalam Bahasa Malaysia.
“Dia belajar di sekolah Cina,” kata Najib.
Beberapa pemimpin MCA menganggap adalah tepat pada masanya untuk Najib memberi jaminan melindungi hak pendidikan di sekolah Cina.
Perkara membabitkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) Cina menjadi kontroversi apabila Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad berkata beliau akan membawa resolusi untuk memansuhkan SRJK untuk dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO, bulan depan.
Di kalangan pemimpin MCA, kenyataan Mohamad Azli itu disifatkan sebagai menghasut kerana ia mencetuskan rasa tidak senang di kalangan komuniti Cina di negara ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Tiong Lai mengulangi pendirian parti itu untuk terus mempertahan dan membangunkan pendidikan Cina dan sekolah Cina di negara ini, termasuk melindungi hak setiap kaum yang belajar di sekolah berkenaan.
Najib dalam ucapannya juga meluluskan Pelan Transformasi MCA bawah kepemimpinan Tiong Lai untuk memberi nafas baru kepada parti yang berusia 65 tahun itu.
“Saya menyokong kepemimpinan sekarang. MCA bawah Liow sudah meraih semula hala tuju parti. Masa depan MCA bergantung sepenuhnya kepada perpaduan dalam parti,” katanya. – MYNEWSHUB