Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan penyakit yang digeruni, Ebola kini mencecah 10 ribu orang di Afrika Barat.
Gienea, Liberia dan Sierra Leone menjadi tiga negara utama pembiakan virus tersebut dan telah berjangkit kepada 9,936 individu.
Angka tersebut dikeluarkan WHO pada mesyuarat kecemasan pusingan ketiga di Geneva bagi mendiskusikan usaha melawan penyakit tersebut.
Menurut WHO, dari jumlah tersebut, hampir 5 ribu pesakit menemui ajal dan pakar meramalkan, menjelang Disember tahun ini, jangkitan tersebut akan dihidapi 10 ribu mangsa dalam tempoh seminggu.
Memetik laporan dari Berita Harian, para penyelidik di seluruh dunia kini giat menjalankan pelbagai kajian dan prosedur bagi mencari penawar serta vaksin untuk melawan virus itu.
Sementara itu, beberapa dos vaksin eksprimen ‘rVSV’ untuk mengubati penyakit tersebut dibawa ke Hospital Universiti Geneva dari Kanada dan WHO akan menyelaraskan vaksin tersebut bersama vaksin lain dari Jerman, Gabon dan Kenya.
Vaksin yang dibawa dari Makmal Mikrobiologi  Nasional di Winnipeq, sebelum ini diuji kepada monyet dan mendapat tindak balas yang baik.
Sekadar informasi, Ebola atau dikenali juga sebagai ‘Ebola Hemorrhagic Fever’ merupakan penyakit yang menjangkit manusia dan primat.
Dalam tempoh 2 hari sehingga 3 minggu, virus ini akan mula menunjukkan kesan, antaranya demam, sakit tekak, otot dan kepala. Kemudian, pesakit yang dijangkiti akan menghidap cirit-birit, muntah dan ruam.
Virus ini kemudiannya akan mula menyerang buah pinggang dan hati, menyebabkan pesakit akan mengalami pendarahan luaran dan dalaman.
Andai ia gagal dirawat, pesakit akan menemui ajal dalam tempoh 6 sehingga 16 hari dari tempoh simtom. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR