Prihatin dengan ibadah solat yang ingin ditunaikan oleh para pelancong beragama Islam, Japan Railway Group, West Japan Railway Co. menyediakan satu fasiliti bilik untuk menunaikan ibadah tersebut di Stesen Keretapi Osaka.
Menurut jurucakap JR Group, kemudahan tersebut walau bagaimanapun dibuka bagi kegunaan bukan Islam untuk menunaikan ibadah mengikut kepercayaan masing-masing.
Menurut laporan dari Japan Times, bilik yang berukuran 30 meter persegi itu disediakan untuk pelancong Islam terutamanya dari Malaysia dan Indonesia.
Terdapat dua bilik yang memisahkan jantina, dilengkapi sejadah dan menghadap kiblat di stesen tersebut.
Akhir September lepas, Nankai Electric Railway Co. juga menyediakan perkhidmatan sama buat pelanggannya di Stesen Namba, Osaka, Jepun.
Kini, terdapat banyak syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan sedemikian bagi memudahkan pelancong asing menunaikan ibadah, lantas meningkatkan kehadiran mereka di bumi Jepun. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR