INCHEON – Pelayar berpengalaman negara, Jeremy Koo melahirkan rasa kecewa setelah gagal menyumbangkan pingat emas keempat negara di temasya Sukan Asia Ke-17 pada hari penutup tirai sukan kapal layar.
Jeremy bersama krunya Looi Sing Yew, Mohamed Fauzi Mohamed Mustafa dan Ong Khong Shing yang beraksi dalam acara bot kelas J8 terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas melengkapkan perlumbaan ke-72 di Wangsan Saling Marina hari ini.
Pada aksi penentuan pingat gangsa, Jeremy tewas kepada pelayar Jepun, Sakamoto Wataru dan kru Nobuyuki Imai/Yasuhiro Okamoto/Wada Daichi selepas pasukan ‘Matahari Terbit’ itu memenangi perlumbaan dengan kutipan 2.0 mata penalti.
Pingat emas bagi acara tersebut pula menjadi milik Singapura (Soh Maximilian Khyan Tat/Wong Ming Ho Justin/Chan Andrew Paul Lin Jian/Kan Russell Tsung Liang) selepas mendahului Korea Selatan dengan 2.0 mata penalti.
Pasukan pelayaran Korea Selatan dibarisi Park Gunwoo/Chae Bongjin/Sungmin Cho/Kim Sungwok meraih pingat perak bagi acara tersebut.
Jeremy, selaku jurumudi, berkata beliau dan rakan-rakannya rasa bersalah kerana gagal merealisasikan harapan seluruh kontinjen negara dan juga rakyat Malaysia yang menanti-nantikan sebutir lagi pingat daripada acara pelayaran.
“Kami memohon maaf kepada semua kerana gagal sumbang pingat walaupun kami telah berusaha dengan sedaya upaya,” katanya kepada Bernama.
Mengulas mengenai perlumbaan itu, beliau berkata pasukanya bermula dengan baik namun gagal menandingi Singapura yang telah menunjukkan prestasi luar biasa.
“Hari ini bukan untuk kita sebaliknya untuk mereka (Singapura)…hanya  itu sahaja saya dapat ulas mengenai Singapura,” katanya.
Skuad pelayaran negara berjaya menamatkan cabaran negara di Incheon dengan rekod pencapaian yang boleh dibanggakan selepas berjaya membawa pulang satu pingat emas dan dua pingat perak dan ianya boleh disifatkan sebagai detik gemilang bagi kem pelayaran negara.
Sementara itu, Pengurus Besar, Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata beliau rasa gembira dengan prestasi cemerlang semua pelayar negara.
Beliau berkata hasil kejayaan tersebut menunjukkan pelayar muda negara bawah umur 21 tahun mempunyai potensi besar untuk menyumbang lebih banyak pingat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta.
“Usaha berterusan antara persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu diperhebatkan lagi kerana pelayar muda kita perlu menimba pengalaman yang lebih luas bagi mempersiapkan diri sebelum menghadapi cabaran yang sama pada 2018 nanti,” katanya.
Pingat emas disumbangkan oleh Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz menerusi acara 420 duo lelaki Dinghy manakala pingat perak masing disumbangkan oleh Khairulnizam Afendy dalam acara Laser lelaki dan Nuraisyah Jamal/Umi Norwahidah Sallahuddin (420 Wanita).
Pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, pingat emas dimenangi menerusi gandingan Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed dalam kelas 420 wanita.
Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Malaysia meraih satu pingat emas menerusi Rufina Tan dalam kelas Optimist. – BERNAMA