Sebanyak 12 negara akan menampilkan pasukan pancaragam dan pasukan tentera mereka dalam satu persembahan tatu yang unik sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
Bermula sejak Jumaat lepas, persembahan KL International Tattoo 2014 akan berakhir malam ini dengan persembahan akan bermula pada pukul 8.30 malam di Stadium Merdeka di ibu negara.
Negara yang tampil dengan persembahan ialah Brunei, India, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Singapor, Afrika Selatan, Korea Selatan, Thailand, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.
Rejiman Angkatan Tentera Darat Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia akan melakukan persembahan mewakili negara pada malam KL International Tattoo 2014 itu.
Semalam , program itu dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan persembahan pancaragam disiarkan secara langsung melalui stesen televisyan TV2.
Program itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
KL International Tatto 2014 merupakan antara acara utama sempena TMM dan dianjurkan untuk memperkukuhkan persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan rakan dari luar negara.
Pada persembahan malam tadi, pancaragam dari Singapura menarik perhatian apabila dua anggotanya menyanyikan lagu Sejahtera Malaysia di akhir persembahan mereka.
Pasukan dari Brunei juga mencuri tumpuan apabila menyanyikan tanpa alunan muzik lagu tema sambutan kemerdekaan ke-57 tahun ini yang bertajuk “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” dan lagu “Tanggal 31”. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K