KOTA BAHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 5,894 saman dan notis amaran atas kesalahan cermin gelap dan nombor plat kenderaan dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas.
Pengarahnya Abd Ghani Che Kassim berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,949 notis dikeluarkan bagi kesalahan cermin gelap manakala 3,945 notis untuk kesalahan nombor plat kenderaan.
“Sepanjang tahun lepas, JPJ Kelantan mengeluarkan 6,138 notis bagi kedua-dua kesalahan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar bagi menjelaskan penguatkuasaan cermin gelap dan nombor plat kenderaan, di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga melaksanakan kempen mendidik pengguna selama sebulan sejak awal bulan ini bagi memberi kesedaran agar mereka mematuhi peraturan berhubung cermin gelap.
Abd Ghani berkata syarikat pemasang “film tinted” diminta menyediakan alat bagi mengukur tahap ketelusan cahaya sebelum memasang pada kenderaan pelanggan bagi mengelakkan kenderaan mereka dikenakan saman atas kesalahan cermin gelap.
– BERNAMA