INCHEON – Perenang negara, Julius Jaranding menganggap penyertaannya dalam acara 400m gaya bebas lelaki S13 sebagai medan menguji kekuatan lawan sebelum bersaing dalam acara kegemarannya, 100m kuak dada S13, pada temasya Sukan Para Asia 2014, Rabu ini.
Julius sekadar menduduki tempat keempat dalam acara 400m gaya bebas dengan catatan masa lima minit 29.82 saat pada hari pertama acara renang di Pusat Akuatik Munhak Park Tae-hwan di sini hari ini.
“Walaupun gagal meraih pingat bagi acara 400m gaya bebas tapi saya menganggap ini sebagai acara pemanas badan sebelum cuba memperbaharui masa 1:21s dalam acara 100m kuak dada,” katanya di sini hari ini.
Pingat emas acara itu dimenangi oleh prenang Iran, Vahid Keshtar dengan catatan masa 5:06.07s, diikuti Mohammad Hossein Karimi Jahan Abadi (Iran) dan Sutat Sawattarn (Thailand).
Julius, 28, turut kecundang dalam acara kelayakan 50m gaya bebas S13 dengan menduduki tangga tercorot dengan masa 31.20s.
“Kali ini terlalu ramai atlet baharu, jadi saya tidak tahu sejauh mana kekuatan mereka dan saya tidak mengetahui persaingan yang bakal diberikan,” katanya.
Ketua jurulatih renang negara, Gan Kok Lee berkata beliau tidak menyangka Julius akan menerima persaingan sengit kerana beliau kini berada pada ranking kedua Asia.
“Disebabkan Julius kurang menyertai acara 400m gaya bebas, jadi kita tidak tahu kekuatan perenang lain. Namun saya harap Julius dapat sumbangkan pingat dalam acara 100m kuak dada nanti,” katanya. – BERNAMA