KOTA KINABALU – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membahagikan kawasan pencarian bot tempur CB204 bagi memudahkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op SAR) tujuh anggota kapal terbabit kepada empat sektor di sekitar perairan pantai barat Sabah, pagi ini.
Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, dalam twitter beliau berkata sektor terbabit iaitu A,B, C dan D membabitkan enam kapal TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
TLDM mengerahkan empat kapal iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu, KD Pari, KD Serang dan KD Ganas, manakala APMM menghantar Kapal Maritim (KM) Mabul dan KM Berani bagi membantu operasi berkenaan.
Awal pagi ini, TUDM mengerahkan pesawat Beechcraft bagi membantu operasi berkenaan tetapi hujan lebat menyukarkan pencarian.
Bot tempur jenis CB90 milik TLDM itu dilaporkan terputus hubungan komunikasi dengan kapal pengiring KD Paus ketika dalam pelayaran ke kawasan operasi Terumbu Layang-Layang, kira-kira jam 11.15 pagi semalam.
Seramai tujuh anak kapal yang diketuai Leftenan Azri Bakar menaiki bot tempur berkenaan.
Sehingga jam 8 pagi tadi, bot tempur berkenaan masih belum ditemui. – BH Online