KINABATANGAN – Sebagai kerajaan prihatin dan bertanggungjawab, kebajikan warga emas terus diberi perhatian bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan baik dan selesa.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan yang besar kepada kementerian dan jabatan berkaitan serta persatuan warga emas bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti yang dirancang.
Katanya dalam Bajet 2015 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebanyak RM1.2 bilion disediakan untuk bantuan kewangan kepada keluarga miskin, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya dalam bajet itu, lima pusat aktiviti warga emas ditambah menjadikan 50 buah di seluruh negara serta pewujudan unit penyayang warga emas yang menyediakan pengangkutan percuma kepada warga emas ke hospital.
Dalam bajet negeri yang lalu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar untuk program sosial dan kebajikan am berunsur kebajikan produktif melibatkan warga emas, kanak-kanak dan OKU, katanya pada majlis sambutan Hari Warga Emas peringkat negeri di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlida R.M. Jasni.
Terdahulu, Jainab dalam ucapan alu-aluannya berkata sebanyak 30,704 warga emas di Sabah menerima bantuan melibatkan peruntukan RM90,747 pada tahun ini sehingga Oktober.
Katanya di bawah skim bantuan itu, penerima mendapat RM300 setiap bulan.
Pada majlis itu, Mohd Jukin Matta dan isteri Sarmiah Mislong serta Mohd Mahalan Pindot dan Jaliha Mating menerima anugerah khas warga emas peringkat
negeri. – BERNAMA