ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berharap agar kerajaan memberi tumpuan kepada golongan penoreh dalam Bajet 2015 bagi membantu meringankan beban mereka ekoran harga getah yang rendah pada masa ini.
Mukhriz berkata, salah satu perkara yang membimbangkan kerajaan negeri ini adalah soal harga getah yang terlalu rendah dan terdapat ramai rakyat yang bekerja sebagai penoreh.
“Mereka (penoreh) hadapi keadaan yang tertekan akibat harga getah yang sangat murah. Oleh itu dalam Bajet 2015 ini, diharap nasib masyarakat (terlibat dalam industri) getah ini dapat dibela,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Selain itu katanya, bagi negeri ini juga tumpuan perlu diberikan khususnya kepada golongan miskin di luar bandar yang memerlukan pelbagai bantuan.
“Kedah berharap banyaklah peruntukan dalam bajet kali ini bertujuan untuk pembelaan rakyat khususnya di luar bandar. Saya tahu kebelakangan ini tumpuan untuk masyarakat miskin dalam bandar dan di Kedah juga kategori itu wujud.
Kita memerlukan pelbagai bantuan seperti perumahan, infrastruktur dan bantuan-bantuan lain seperti bekalan air bagi masyarakat luar bandar,” kata Mukhriz.
Dalam perkembangan lain beliau berkata Program Mesra Rakyat bagi tahun ini akan diadakan pada 11 dan 12 Oktober ini di daerah Kulim bertujuan untuk mendekati rakyat sekaligus mengenal pasti masalah dihadapi mereka.
“Ia bertujuan untuk memahami apa masalah dihadapi rakyat dan akan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin dan bukan hanya saya akan berada di sana tetapi exco-exco dan pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan juga akan ada,” katanya. – BERNAMA