Modus operandi mereka sangat licik! Siapa sangka, dua orang yang mengaku pasangan suami isteri dan datang ke taska untuk mendaftarkan anak mereka di situ, rupa-rupanya ingin mencuri!
Kejadian ini diceritakan oleh seorang pemilik taska yang mengalami kejadian sama dengan kedua-dua pencuri tersebut sebanyak dua kali dalam tempoh lima tahun melalui aplikasi bual Whatsapp.
Kisahnya, baru-baru ini kedua-dua lelaki dan perempuan ini telah datang ke sebuah taska di Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan untuk mendaftarkan anak mereka di situ.
Namun demikian, ketika sibuk si pembantu taska menjelaskan tentang hal pendaftaran kepada si ‘isteri’, si ‘suami’ pula meminta izin untuk ke tandas di dalam premis.
Mujur tergerak hati untuk memeriksa, salah seorang pengasuh lain masuk ke dalam dan nah, dia terlihat kejadian si ‘suami’ yang sedang menyelongkar beg tangan salah seorang pekerja.
Apa lagi, si pembantu tadi terus menjerit dan dek kerana terkejut dengan terkahan tersebut, kedua-dua mereka terus melarikan diri dari situ.
Namun, operasi mereka belum berakhir kerana tidak lama selepas itu, mereka ke taska berdekatan pula. Tak serik sungguh!
Mereka menggunakan taktik yang sama, tetapi kerana pembantu pengasuh mengiringi si suami ke tandas dan pintu pejabat yang ditutup rapat, maka mereka tidak dapat mencuri.
Tidak berputus asa, mereka kemudiannya singgah pula di taska si pengirim berita ini.
Namun demikian, aktiviti mereka juga tidak berjaya kerana pembantu pengasuh tidak membenarkan kedua-duanya untuk masuk ke dalam taska.
Imbas si pemilik taska ini, ketika dia melihat foto-foto kedua-dua pencuri yang sempat diambil, dia teringat akan satu kejadian yang berlaku lima tahun lepas.
Dia percaya, mereka jugalah yang datang ke taskanya dan mencuri telefon bimbit miliknya.
Namun, ketika kejadian yang berlaku baru-baru ini, dia tidak sempat untuk bertemu kedua-dua mereka kerana sedang menunaikan solat asar.
Tambahnya, dia juga bersyukur kerana tidak berlaku kejadian yang tidak diingini terutamanya terhadap kanak-kanak yang menghuni taska.
Disebabkan kejadian tersebut, katanya, dia sudah tidak membenarkan sesiapa yang tidak dikenali untuk masuk ke kawasan taska bagi menjamin keselamatan kanak-kanak.
Katanya lagi, nyawa dan keselamatan kanak-kanak tersebut lebih berharga dari harta benda kerana ia merupakan amanah dari ibu bapa untuk menjaga.
Melalui gambar yang sempat dirakamkan pengasuh taska, si pencuri licik ini sempat menutup nombor plat kereta mereka bagi mengelakkan dikesan.
Tetapi, beringatlah wahai pencuri, sepandai-pandai tupai melompatpun, akhirnya jatuh ke tanah jua! – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR