Kalangan pemerhati politik antarabangsa terutama yang mengkhusus kepada semenanjung Korea kini tertanya-tanya ke mana Kim Jong-un menghilangkan diri.
Ini berikutan pemimpin Korea Utara berumur 32 tahun yang diketahui gemarkan publisiti itu tidak muncul di khalayak umum sejak 38 hari yang lalu.
Apa yang menarik perhatian dan menimbulkan persoalan ialah apabila Kim tidak hadir pada program hari penubuhan Parti Pekerja Korea pada 10 Oktober dan hari asas penubuhan Korea Utara pada 9 September lalu.
Kehadiran pemimpin tertinggi Korea itu boleh dikatakan wajib dalam kedua program berkenaan.
Namun beliau tidak kelihatan langsung sehingga menyebabkan kini wujud beberapa teori yang cuba menjelaskan mengapa Kim menghilangkan diri tanpa sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu dikeluarkan oleh kerajaan Korea Utara.
Media rasmi negara berkenaan sekadar menyebut ketidakselesaan peribadi (tanpa butiran lengkap dan lanjut) berhubung kehilangan pemimpin negara itu.
Ada pihak yang mengandaikan wujud pergolakan politik di belakang tabir dengan kemungkinan telah berlaku rampasan kuasa.
Ini berikutan tindakan ganas Kim mengekang pihak yang tidak sehaluan denganya dan setelah tindakan zalimnya mengeluarkan perintah bunuh ke atas pakciknya sendiri pada Disember tahun lepas.
Selain itu, ekonomi Korea Utara yang semakin perlahan dan sikap Amerika Syarikat yang memandang negara itu sebagai lemah walaupun dikatakan memiliki senjata nuklear mungkin menjadi punca kepada kejadian rampasan kuasa.
Namun, kemungkinan itu agak tipis kerana andai benar itu yang berlaku, sudah tentu pemimpin baru tampil ke hadapan.
Penganalisis juga melihat tidak ada dalam keluarga Kim yang mempu mengantikan beliau.
Ini kerana seorang saudara lelaki Kim berada dalam buangan di luar negara manakala seorang lagi langsung tidak ada kebolehan memimpin di samping dipercayai penagih dadah ( jenis pil).
Teori yang paling kuat ialah pemimpin Korea Utara itu kini sedang sakit.
Menurut kenyataan seorang doktor Jerman yang mendakwa bertemu Kim baru-baru ini, pemimpin berkenaan mempunyai masalah dengan sistem edokrin dan kerosakan organ dalaman.
Ramai pengkritik yang beranggapan masalah kesihatan sebagai asas lebih kukuh kehilangan Kim berbanding pergolakan politik.
Namun, dengan imej Kim dan keturunannya yang sering dizahirkan sebagai sempurna dan tidak ada langsung kelemahan, mewar-warkan kepada rakyat Korea Utara bahawa pemimpin mereka sakit teruk bukan sesuatu yang akan dilakukan kerajaan negara itu. Sama sekali tidak.- Mynewshub.cc
Oleh: AK-47