KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu usaha memerangi rasuah memfokus “langkah punitif yang tegas dan tidak selektif” bagi memastikan jenayah rasuah dapat diperangi habis-habisan.
Sambil menegaskan usaha itu harus dilaksanakan “tanpa gentar dan tanpa pilih kasih”, baginda bertitah, “langkah preventif untuk mengukuhkan integriti” juga perlu diberi fokus.
“Tegas dan tidak selektif adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip.
“Negara mempunyai contoh-contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak,” titah Sultan Nazrin pada Majlis Raja Di Hati Rakyat sempena Ulang Tahun SPRM Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Titah baginda yang berteraskan dua aspek iaitu senario umum dan memerangi rasuah menegaskan bertindak secara tegas, lagi tidak selektif bukan satu opsyen, tetapi satu kemestian.
Sultan Nazrin bertitah, Islam yang tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan baik diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu bapa.
“Aspek preventif memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu.
“Sifat tamak merupakan faktor yang sering kali menjerumuskan manusia melakukan dosa.
“Islam menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat kesederhanaan, menjauhkan diri daripada sifat bermegah dan bermewah,” titah baginda yang turut memberi contoh-contoh kes rasuah di pelbagai negara termasuk tulisan pada tahun 300 sebelum Masihi.
Malah titah baginda, menegak yang makruf dan menentang yang mungkar adalah satu tuntutan, dan oleh itu, setiap janji yang diungkapkan, setiap perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan akan diperiksa pada hari kebangkitan.
“… ketika itu tidak ada peguam bela untuk membela dosa yang telah dilakukan, begitu juga amanah yang gagal disempurnakan,” titah baginda yang menjelaskan, “bahawa kehidupan dunia, pangkat, amanah dan tanggungjawab adalah ujian.”
Sehubungan itu tegas baginda, “memerangi rasuah adalah jihad yang perlu disemai di hati sanubari insan.”
“Semoga Allah memberikan petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota SPRM dan semoga setiap niat ikhlas serta tugas yang dilaksanakan secara jujur mendapat hidayat dan ganjaran Ilahi,” titah baginda.
Baginda juga bertitah bahawa undang-undang dan agensi penguatkuasaan adalah instrumen yang perlu dilengkapi dengan program yang komprehensif dan holistik.
Selain itu, baginda bertitah, amalan memahami latar belakang pelaku rasuah akan memberikan kelebihan kepada para petugas untuk berupaya memberikan preskripsi dan diagnostik yang tepat kepada pelaku dan pesalah rasuah.
Baginda memberitahu bahawa usaha-usaha terus dirintis oleh kerajaan untuk memperkemaskan undang-undang di samping meningkatkan kapasiti dan ‘capability’ agensi penguatkuasaan.
“Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai salah satu daripada tujuh komponen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
“Pelbagai langkah susulan telah dirintis termasuk penubuhan 14 Mahkamah Khas Rasuah,” jelas baginda.
Baginda turut berkata, Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013 telah menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah meningkat daripada 64 peratus ke 65.8 peratus manakala tahap sokongan masyarakat kepada SPRM turut meningkat daripada 86.4 peratus bagi tahun 2012 kepada 87.3 peratus bagi tahun 2013.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed menyifatkan keprihatinan dan sokongan Institusi Diraja sebagai satu anjakan paradigma kepada usaha pencegahan rasuah, di mana tindakan membanteras dan membasmi rasuah bukan sahaja dipertanggungjawabkan kepada agensi penguatkuasaan semata-mata, malah turut disokong dan didokong serta diterajui oleh institusi tertinggi negara iaitu Institusi Diraja.
“Selama tempoh 47 tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah dan SPRM, hari ini merupakan detik bersejarah yang mana merupakan kali pertama Institusi Diraja terlibat secara langsung menzahirkan titah di Majlis Raja Di Hati Rakyat sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-47,” ujar Tan Sri Abu Kassim.
SUMBER: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : Rohaizad Yaacob
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM
Mobil : 019-3522777
– BERNAMA