SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Nigeria dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi kesalahan mengedar 65 biji kapsul dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan di dalam perutnya, dua tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Colin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Adiele Chinenyeze Sylvanus, 34, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata beliau tidak mempercayai pembelaan tertuduh bahawa dia telah dipaksa oleh majikan dan rakan majikannya untuk menelan serbuk emas mentah.
Mahkamah turut mendapati pembelaan tertuduh adalah keterangan yang difikirkan semula, katanya.
Tertuduh yang bekerja di kedai menjual telefon bimbit dan komputer riba terpakai didakwa mengedar dadah seberat 478.4 gram itu di tandas Wad 6C, Bilik 27, Hospital Serdang, antara 2.30 pagi hingga 3.30 petang pada 20 Mac 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal sementara tertuduh diwakili peguam N.Subramanian. – BERNAMA