Saturday, October 26, 2024

Creating liberating content

Ibu Bapa Zayn Rayyan...

PETALING JAYA : Ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin membayar ikat...

Kepimpinan Unggul Demi Kecemerlangan...

KANGAR - Aspek kepimpinan unggul penting dijadikan pedoman dan diamalkan oleh semua peringkat...

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding...

KUALA LUMPUR - Ringgit mencatatkan penurunan sekali lagi apabila dibuka rendah pagi ini...

8 Penumpang Dan Pemandu...

SEREMBAN - Lapan penumpang serta seorang pemandu sebuah bas ekspres terselamat selepas terbabas...

Malaysia Sedia Kongsi Kisah Kejayaan Dengan Komanwel

PUTRAJAYA – Berikut adalah petikan temu bual eksklusif Bernama dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa bersempena persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Apakah yang dapat Malaysia sumbangkan kepada Komanwel berhubung pengalamannya dalam bidang pentadbiran awam?

Sejak ditubuhkan, Malaysia adalah antara negara anggota Komanwel yang aktif. Malaysia memainkan peranan penting serta banyak menyumbang kepada pertubuhan itu serta kegiatan CAPAM, terutama dalam bidang pentadbiran awam dan pengurusan.

Dalam hal ini, Malaysia boleh mengetengahkan pelbagai contoh tentang kisah kejayaannya untuk dikongsi dengan negara anggota Komanwel lain. Sebagai contoh, kita mencapai banyak kejayaan dalam program transformasi, khususnya Program Transformasi Kerajaan dan konsep ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’, yang disambut baik oleh negara anggota Komanwel.

CAPAM menyambut ulang tahun ke-20 penubuhannya tahun ini. Bagaimanakah kejayaan penting ini mampu meluaskan rangkaian dalam menggalakkan amalan tadbir urus baik dalam kalangan negara anggota?

Malaysia bertuah kerana berpeluang menjadi tuan rumah persidangan ini bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan CAPAM. Saya percaya, ia juga memberi peluang baik kepada kita untuk mengenang kembali perkara yang berlaku 20 tahun lepas serta menilai sejauh manakah yang telah kita capai, menilai kelemahan dan kejayaan kita dan memandang ke hadapan sambil belajar daripada satu sama lain untuk membentuk masa depan kita bersama.

Keanggotaan 53 negara yang mempunyai latar belakang serta penduduk berbeza memberi kelebihan terhadap usaha ini, manakala pengetahuan, kepakaran dan maklumat yang dikongsi pada persidangan ini, tidak terhitung jumlahnya.

Sebagai presiden CAPAM kesembilan, saya ingin melihat CAPAM menyegarkan kembali profil atau jenamanya dalam Komanwel dan di luar lingkungannya, memberi fokus terhadap usaha membantu rakan kita di negara kepulauan kecil membangun dan mengamalkan pendekatan serantau dengan menjadikan transformasi serta tadbir urus baik dalam perkhidmatan awam sebagai tumpuan utama kita.

Setelah 20 tahun CAPAM ditubuhkan, pada pendapat Tan Sri, di manakah kedudukan pertubuhan itu sekarang, jika dibandingkan dengan pentadbiran awam di negara Barat serta negara maju seperti Amerika, Eropah, Jepun dan Korea Selatan?
Bagaimanakah ia telah membantu anggotanya menambah baik pentadbiran dan pengurusan di negara masing-masing?

CAPAM mempunyai keunikan memandangkan ia terdiri daripada 53 negara Komanwel dari empat benua utama dunia.

Kekuatan utama Komanwel dan CAPAM adalah kemampuannya untuk bersuara dengan satu nada, tanpa mengorbankan kekayaan ciri kepelbagaian yang dimilikinya dan capaian daripada segi geografi. Integrasi global menjadikan kita lebih rapat dan keakraban ini sekali gus boleh meningkatkan stres serta juga membuka peluang baharu.

Dengan berlandaskan semangat perpaduan dan matlamat yang dikongsi bersama serta untuk memanfaatkan peluang yang ada, kita perlu mencari cara yang bersifat imaginatif, kreatif dan inovatif untuk menggunakan potensi mesyuarat atau persidangan CAPAM serta rangkaiannya untuk meluaskan dan menyuburkan lagi jalinan laman yang kita kongsi bersama.

Boleh Tan Sri huraikan tentang tema persidangan CAPAM tahun ini, ‘Transformsi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu’? Apakah sebabnya ia dipilih sebagai tema, terutama selepas 20 tahun penubuhannya?

Persidangan tahun ini dibahagi kepada tiga subtema, seperti berikut:

(i) Membentuk Masa Depan Bersama, yang memfokus kepada aspek transformasi ‘rakyat’ sambil menggariskan tentang peri pentingnya penglibatan aktif rakyat dan perkhidmatan awam sendiri;

(ii) Ke Arah Masa Depan Lebih Cerah, yang memberi penekanan terhadap ‘mekanisme’ yang digunakan dalam proses transformasi dan memperincikan proses, teknologi dan/atau alat yang telah digunakan; dan

(iii) Membina Kebingkasan Global, yang menggariskan pengajaran berguna serta konteks khusus bagi sesebuah negara yang dialami kerajaan dalam membangunkan perkhidmatan awam yang mampu memberi tindak balas secara tangkas terhadap perubahan trend pada masa akan datang.

Daripada subtema itu, adalah jelas bahawa persidangan tahun ini memberi fokus terhadap orang ramai, yang menjadi teras utama di sebalik transformasi yang diidamkan, bagaimana kita memanfaatkan dasar dan teknologi serta berkongsi contoh nyata dalam kalangan negara anggota.

Komanwel adalah medan menarik untuk berkongsi amalan baik, terutama dengan wujudnya kekayaan sejarah dan pengalaman pembangunan anggotanya. Malaysia amat berbesar hati untuk berkongsi pengalamannya dan sambil itu, belajar daripada orang lain.

Boleh Tan Sri huraikan tentang forum media dan kenapa Tan Sri berpendapat komponen ini penting dalam pentadbiran awam Komanwel?

Ini kali pertama kita menganjurkan Forum Media Komanwel CAPAM, manakala tema yang dipilih bagi acara yang julung kali diadakan ini pula ialah ‘Menarik Penglibatan Komanwel’.

Matlamat di sebalik tema ini ialah untuk meneliti paradigma dan amalan inovatif yang sedang muncul dalam dunia media Komanwel yang lebih luas. Ia juga bertujuan mewujudkan suatu platform untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik serta memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi melalui rangkaian yang wujud dalam kalangan negara Komanwel dan pengamal media.


Merujuk kepada pujian yang diberi ketua pegawai eksekutif CAPAM Gay Hamilton terhadap tadbir urus awam Malaysia yang beliau anggap sebagai suatu contoh baik untuk diteladani negara Komanwel lain, secara khusus, dalam bidang manakah Malaysia paling berjaya? Adakah ia merujuk kepada GTP, ETP, Pemudah/Teraju atau kemudahan menjalankan perniagaan?

Malaysia mencapai kejayaan dan melakar pencapaian besar dalam banyak bidang, yang boleh kita tonjolkan kisah kejayaannya kepada Komanwel.

Sebagai contoh, Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2013 menyebut bahawa ia mencapai 104 peratus petunjuk prestasi utama (KPI) tahun lepas.

GTP mengandungi tujuh bidang keberhasilan utama negara (NKRA) iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, menjamin pendidikan berkualiti, meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, menambah baik pengangkutan awam bandar, meningkatkan pembangunan luar bandar dan menangani kenaikan kos sara hidup.

Satu lagi kisah menarik yang boleh ditonjolkan ialah kejayaan inisiatif di bawah konsep kita untuk merakyatkan pekhidmatan awam (MPA) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Sebagai contoh, 60 inisiatif NBOS telah diperkenalkan dan dilaksanakan, manakala inti pati daripada inisiatif ini bukan sahaja untuk meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat, tetapi juga untuk memanfaatkan kekuatan pelbagai kementerian dan agensi serta mengeratkan lagi kerjasama dalam perkhidmatan awam.

Mengenai kejayaan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) pula, kita mencatat kejayaan berlipat kali ganda dalam ‘World Bank Ease of Doing Business Report’, (kedudukan kita meningkat) dari tangga ke-23 pada 2009 ke tangga keenam ketika ini daripada 189 negara di dunia. PEMUDAH ditubuhkan untuk menangani keperluan segera bagi mewujudkan kerjasama lebih erat antara sektor awam dan swasta bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta menambah baik persekitaran perniagaan di Malaysia. Dalam tempoh tujuh tahun lepas, PEMUDAH berjaya memperkenalkan banyak inisiatif untuk menambah baik persekitaran perniagaan di negara ini.

Malaysia juga menduduki tempat membanggakan dalam laporan antarabangsa dan ini menjadi bukti tentang daya saing yang dimiliki negara kita. Sebagai contoh, World Economic Forum meletakkan Malaysia sebagai ekonomi ke-20 paling berdaya saing daripada kalangan 144 ekonomi dalam Laporan Daya Saing Dunia 2014-2015 dan kita menduduki tempat ke-12 dalam IMD World Competitiveness Yearbook 2014 dalam kalangan 60 ekonomi.

Sejauh manakah penting dan relevannya Kerjasama Awam-Swasta (PPP) bagi negara Komanwel hari ini? Apakah kejayaan Malaysia dalam melaksanakan PPP?

PPP adalah perkongsian pintar antara Kerajaan dan sektor swasta bagi tujuan penyediaan infrastruktur awam, kemudahan untuk masyarakat dan perkhidmatan yang ada kaitan dengannya. Secara umum, PPP adalah mengenai perkongsian pelaburan, risiko, tanggungjawab dan ganjaran dalam kalangan rakan kongsi. Tujuan utama penubuhan perkongsian ini adalah untuk memastikan wujudnya reka bentuk, pembinaan, operasi dan penyenggaraan yang cekap bagi infrastruktur untuk menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik.

PPP mampu memberi nilai untuk wang dengan memanfaatkan kepakaran sektor awam dalam menggabungkan reka bentuk dan operasi sesuatu aset dan dengan itu, dapat menyediakan perkhidmatan secara lebih cekap, berbanding pemerolehan bersifat tradisional.

Kisah kejayaan Malaysia dapat dilihat dalam pembinaan lebuh raya bertol, lapangan terbang, pelabuhan, infrastruktur pendidikan dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

PPP dilaksanakan di Malaysia sejak lebih 30 tahun lepas dan telah memberi sumbangan besar terhadap pertumbuhan pesat ekonomi negara ini. Berasaskan hakikat ini, Malaysia sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalamannya berhubung pelaksanaan PPP dengan Komanwel dan saya ingin menyarankan kepada rakan kita dalam Komanwel supaya memanfaatkan program pembinaan keupayaan, perundingan dan nasihat yang ditawarkan Pusat Kecemerlangan PPP di bawah UKAS (Unit Kerjasama Awam-Swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri).

Sejauh manakah penambahbaikan yang dilakukan terhadap sistem penyampaian awam di Malaysia setakat ini? Masih adakah ruang untuk terus memperbaikinya?

Penambahbaikan yang dilakukan terhadap sistem penyampaian awam Malaysia amat ketara dalam tahun-tahun kebelakangan ini dan kita terus mempunyai perkhidmatan awam bertaraf dunia, yang menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat mengikut jangkaan dan permintaan mereka yang sentiasa meningkat.

Namun demikian, kita mengaku masih terdapat cabaran serta ruang untuk dibuat penambahbaikan. Sebagai contoh, untuk merapatkan jurang antara aspirasi dasar dan penyampaian perkhidmatan, kami telah meningkatkan penglibatan secara lebih menyeluruh pelbagai pemegang kepentingan, termasuk tenaga kerja dalam perkhidmatan awam.

Model baharu kerjasama dan perkongsian sedang dibentuk dan zaman kerajaan lebih tahu sudah semakin berlalu dan menjadi sejarah.

Media sosial juga semakin banyak digunakan sebagai platform untuk mendapatkan pandangan serta penglibatan lebih meluas daripada komuniti pemegang kepentingan dan pada waktu yang sama, untuk menyalurkan mesej kepada masyarakat.

Kita perlu mempunyai penjawat awam yang cekap, yang memiliki kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan untuk melaksanakan segala dasar yang ditetapkan kerajaan.

Ini bererti kita perlu melabur dalam pembangunan modal insan, melabur dalam pembinan kemahiran, yang bukan sahaja relevan untuk hari ini, tetapi juga kemahiran sedang muncul untuk membolehkan perkhidmatan awam meningkatkan prestasinya, bukan sekadar melaksanakan proses melewati proses tradisional.

Di samping itu, merekayasa organisasi awam juga merupakan suatu keperluan kerana organisasi ini perlu menjadi lebih tangkas dan responsif terhadap keperluan perubahan. ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) juga akan terus digunakan dan dimanfaatkan untuk mengurangkan lapisan birokrasi yang begitu terkenal dalam perkhidmatan awam. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • CAPAM

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori