SYARIKAT penerbangan hibrid, Malindo Air, akan memulakan perkhidmatan harian dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Kota Baharu mulai Ahad.
Penerbangan berlepas dari Kuala Lumpur pada 7 pagi dan tiba di Kota Baharu pada 7.55 pagi manakala penerbangan balik berlepas pada 8.45 pagi dan tiba pada 9.45 pagi.
“Perkhidmatan itu diwujudkan berikutan permintaan yang semakin meningkat untuk penerbangan ke ibu negeri Kelantan itu,” kata Malindo Air dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambang promosi bermula daripada RM69 sehala, termasuk peruntukan bagasi percuma seberat 15 kilogram serta minuman.
Malindo Air ialah syarikat penerbangan hibrid Malaysia dengan hab-hab utama di KLIA2 dan Subang Skypark di Selangor. – BERNAMA