KUALA LUMPUR – Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak bersetuju dengan cadangan memansuhkan sekolah vernakular.
Beliau mendakwa, langkah memansuhkan sekolah vernakular akan hanya menyumbang kepada ketegangan kaum kerana Perlembagaan Malaysia menjamin hak pendidikan vernakular di negara ini.
Justeru, katanya, negara tidak wajar disusahkan dengan masalah seperti itu hanya kerana terdapat pihak tertentu mendakwa sekolah vernakular mewujudkan perasaan kebencian dan perkauman.
“Benar, kepelbagaian aliran pendidikan di Malaysia menimbulkan cabaran kepada perpaduan negara. Bagaimanapun, hakikatnya Perlembagaan Malaysia menjamin hak pendidikan vernakular dan ini tidak boleh diubah tanpa persetujuan semua kumpulan-kumpulan etnik yang terlibat.
“Tidak dinafikan bahawa banyak sekolah-sekolah vernakular Cina Malaysia lebih “berbilang kaum†berbanding sekolah kebangsaan atau saya berani katakan –parti-parti berasaskan kaum yang lain. Anak-anak daripada semua kaum termasuk kaum Melayu sedang berkembang dalam sekolah-sekolah vernakular pada hari ini.
“Usaha-usaha kita sepatutnya fokus ke atas peningkatan keadaan sekolah-sekolah jenis kebangsaan supaya menjadi pilihan pertama untuk semua ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa, ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah vernakular kerana kerana menganggap kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan tidak cukup baik dan persekitaran yang kurang menyeluruh.
“Kita harus berusaha untuk menggalakkan anak-anak kita menuju ke hadapan dan bukanlah mengheret mereka ke bawah,” katanya. – mynewshub.cc