MIRI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Miri (DM13) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok di kawasan Kuala Lawas Khamis lepas.
Pengarah Operasi DM13 Komander Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, serbuan tersebut adalah hasil maklumat orang awam dan APMM berjaya merampas barang seludup melibatkan 2,376 tin minuman keras dan 25 karton rokok bernilai RM38,021.99.
“Sebelum rampasan dibuat Maritim mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan yang mencurigakan memasuki Kuala Lawas menuju ke Pulau Sari dan terus mengekori bot tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
“Setelah bot mendarat ke tebing, dua orang lelaki didapati sedang melakukan kerjaĆĀ¢Ć¢āĀ¬Ć¢ā¬Åkerja pemunggahan barang yang dibawa ke kawasan darat.
“Bila menyedari kehadiran anggota Maritim di lokasi tersebut kedua-dua lelaki itu meninggalkan lokasi tanpa membawa sekali barang seludup itu,” katanya.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan secara keseluruhan sepanjang tahun ini dianggarkan rampasan minuman keras dan rokok berjumlah RM58,995.67. – BERNAMA