SEPANG – Masalah pelarasan jentera menjejaskan tumpuan pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah pada dua sesi latihan bebas perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 di Litar Sepang hari ini.
Pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia itu mengakui beliau tidak berpuas hati dengan pelarasan jenteranya apabila sekadar menamatkan sesi latihan kedua di tempat ke-26 dengan masa dua minit 10.423 saat.
Pada sesi latihan pertama Hafizh menduduki tempat ke-20 dengan masa 2’09.340s.
“Hari ini bukan permulaan baik untuk saya, pasukan perlu membuat ‘setting’ baharu. Esok merupakan hari penting kerana saya mahu mendapatkan kedudukan terbaik pada pusingan kelayakan esok.
“Saya harap sebelum bermula pusingan kelayakan, jentera dapat digunakan dengan baik seperti perlumbaan-perlumbaan lain sebelum ini. Catatan masa yang pernah saya lakukan tidak pernah seteruk ini. Hari ini perbezaan dengan pendahulu sebanyak dua saat,” katanya kepada pemberita di sini.
Hafizh menyasarkan kelompok 15 terbaik pada pusingan kelayakan esok.
“Saya yakin sekiranya bermula dengan posisi terbaik, saya mampu meraih kejayaan di sini iaitu menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik,” katanya.
Hafizh, 20, pertama kali beraksi semusim penuh tahun ini, mempamer prestasi terpuji dalam 16 perlumbaan apabila berada pada kedudukan ke-18 daripada 28 pelumba dengan mengutip 42 mata.
Beliau turut mengharapkan litar basah pada aksi hujung minggu ini untuk meraih keputusan lebih cemerlang.
Pada sesi latihan bebas kedua hari ini, Esteve Rabat daripada pasukan Marc
VDS Racing Team mencatat masa terpantas iaitu 2’07.729s diikuti Maverick Vinales (Paginas Amarillas HP 40) dengan masa 2’08.204s dan Mika Kallio (Marc VDS Racing Team), 2’08.440s.
Seorang lagi pelumba Moto2 negara Azlan Shah Kamaruzaman (IDEMITSU Honda Team Asia) turut kurang bernasib baik apabila hanya mampu meraih kedudukan ke-31 dengan masa 2’10.871s pada sesi latihan sama. – BERNAMA