Tidak mahu dikenali sebagai pendatang, tetapi mahu identiti bahasa pendatang – itu yang dipersoalkan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dalam laman blog peribadinya, Zamkata.
Menurut beliau, masyarakat Cina tidak sepatutnya marah apabila mereka digelar sebagai masyarakat pendatang kerana mereka sendiri yang melakukan ‘self-isolation’ atau pengasingan diri.
Setelah lebih separuh abad usia kemerdekaan, masyarakat Cina masih jauh ketinggalan dalam memahami bahasa Melayu secara keseluruhan.
Mereka hanya mampu bertutur bahasa Melayu menggunakan loghat Cina ataupun berbahasa melayu pasar.
Fenomena ini bertambah teruk kerana menurut beliau, pendidik di sekolah Cina menggunakan loghat lantas pelajar akan terikut. Malah, sebahagian mereka hanya belajar untuk lulus peperiksaan.
Ujarnya lagi, masyarakat Cina tidak mempunyai identiti bahasa bangsa Malaysia seperti penduduk Cina di Indonesia, Singapura malahan Amerika Syarikat.
Kata bekas Ahli Parlimen Merbok ini, masyarakat Melayu amat mudah untuk menerima kaum Cina tempatan yang fasih bertutur bahasa Melayu seperti yang diamalkan di Kelantan, Kedah dan Perlis.
Isu ini mendapat perhatian beliau apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat seruan kepada masyarakat Cina supaya mempelajari bahasa kebangsaan Malaysia pada Persidangan Perwakilan MCA, baru-baru ini.
Najib membuat kenyataan tersebut sambil merujuk kefasihan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai contoh yang baik kerana figura itu fasih bertutur bahasa kebangsaan walaupun latar belakangnya dari sekolah kebangsaan Cina.
Selain itu, Tan Sri Zainuddin Maidin juga membuat cadangan untuk dijalankan satu kajian bagi mengenalpasti kebenaran tentang pelajar Melayu yang susah mendapat peluang pekerjaan kerana kelemahan menguasai bahasa Inggeris.
“Atau sebenarnya anak-anak Cina dari aliran jenis kebangsaan Cina yang sukar mendapat kerja kerana mereka bukan sahaja tidak dapat berbahasa Inggeris dengan baik tetapi juga tidak dapat berbahasa melayu dengan sewajarnya,” soal beliau.
Maka katanya, syarikat milik Cina terpaksa memberi peluang kepada anak Cina kerana anak Melayu lebih mudah mendapat peluang di syarikat antarabangsa atau syarikat tempatan, di samping kerajaan. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR