INCHEON – Ketua jurulatih memanah, Abd Rahman Saayon menyasarkan skuad memanah sekurang-kurangnya layak ke saingan separuh akhir pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Abd Rahman berkata beliau mahu atlet memanah mendapat keputusan lebih baik berbanding kejohanan sama di Guanghzou, China pada 2010.
Di Guanghzou, skuad memanah hanya mengumpul sebutir gangsa melalui acara recurve berpasukan.
“Kalau skuad kita boleh melepasi sasaran separuh akhir, lagi bagus…saya lagi bersyukur. “Cuma dari segi teknik memang ada perubahan sedikit…dan ada juga atlet baharu yang saya lihat memang berbakat,” katanya kepada pemberita semasa latihan di Padang Memanah Gyeyang di sini hari ini.
Abd Rahman berkata beliau hanya meletakkan sasaran awal ke saingan separuh akhir terlebih dulu kerana tidak pasti sejauh mana persaingan yang bakal dihadapi dari beberapa negara yang tidak pernah bertanding seperti Iran dan Taiwan.
Dari segi cabaran cuaca sejuk yang terpaksa dihadapi atlet negara, beliau mengambil pendekatan mengadakan latihan pada awal pagi.
“Saya harap atlet cepat biasakan diri dengan cuaca sejuk supaya mereka tidak terganggu pada hari perlawanan nanti,” katanya. – BERNAMA