SEPANG – Penunggang Repsol Honda Team Marc Marquez mencatat masa kurang dua minit dalam ujian kelayakan Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 di Litar Sepang di sini hari ini.
Penunggang dari Sepanyol berusia 21 tahun ini mencatat masa satu minit, 59.791 saat untuk meraih petak pertama, mengatasi rakan sepasukan dan senegaranya Dani Pedrosa, yang ketinggalan 0.182 saat.
Penguasaan petak hadapan oleh penunggang Sepanyol dilengkapi Jorge Lorenzo dari pasukan Movistar Yamaha MotoGP, yang mencatat masa 2:00.203.
Dengan masa terpantas yang dicatat hari ini, Marquez muncul sebagai penunggang pertama menghabiskan pusingan dalam masa kurang dua minit dan mencatat rekod baharu kelas premier dengan meraih 13 petak pertama pada musim ini.
Penunggang ini mengatasi rekod 12 petak kelas premier sebelum ini yang diraih penunggang Australia Casey Stoner dan Mick Doohan.
“Saya juga gembira kerana berjaya mengatsi rekod sebelum ini. Mungkin petak pertama tidak begitu penting kerana ia tidak memberi anda sebarang mata, tetapi anda mendapatnya kerana muncul sebagai penunggang paling pantas dalam sesuatu pusingan.
“Memanglah, ia tidak bererti anda akan menjadi penunggang paling laju dalam perlumbaan nanti, oleh itu, perkara paling penting ialah apa yang berlaku esok,” katanya.
Marquez berkata juga dia amat berpuas hati dengan jenteranya setelah mengalami nahas dalam sesi latihan ketiga pagi ini.- BERNAMA