DI negara kelahiran Tintin dan The Smurfs, Belgium, komik adalah satu industri yang memang diangkat sebagai hasil seni yang serius. Maka tidak hairanlah di sini terdapat sebuah muzium yang didedikasikan khas untuk seni komik yang baru-baru ini meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 25.
Dikenali dengan nama Belgium Comic Strip Centre, ia juga adalah muzium komik yang tertua dan terbesar di benua Eropah.
Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke muzium ini, anda akan menemui sebuah model gergasi roket ke bulan yang digunakan oleh Tintin serta lain-lain replika watak komik popular dunia.
Terletak di tengah-tengah bandar ini, adalah amat jelas dan nyata sekali bahawa di negara itu, komik, novel grafik dan lain-lain hasil yang berkaitan dengan komik dinilai sebagai satu hasil kerja seni yang tinggi berbanding budaya popular.
Namun begitu, apa yang menarik mengenai muzium itu ialah ia masih mengekalkan ciri-ciri asas sebuah komik iaitu untuk berhibur dan berkhayal. Cabaran terbesarnya ialah untuk kekal tidak serius agar unsur-unsur komik itu sendiri tidak hilang dan pudar ditelan zaman.
“Cabaran terbesar kami ialah untuk memastikan muzium ini sementara memartabatkan nilai-nilai seni yang tinggi pada masa yang sama tidak menukarkannya menjadi sebuah galeri seni,” kata pengarah Belgium Comic Strip Centre, Jean Auquier.
Satu majlis untuk meraikan ulang tahun tersebut telah dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat Brussel termasuklah beberapa rakan sekerja pencipta watak komik Tintin iaitu Herge, yang meninggal dunia pada 1983.
Muzium tersebut yang dicipta oleh kurator Art Nouveau, Victor Horta, merupakan salah satu ikon terkenal di Belgium dan menjadi daya tarikan pelancong asing.
Komik sejak sekian lama menjadi simbol nasional negara itu sama seperti bir mahu pun coklat.
Belgium Comic Strip Centre kini merupakan monumen yang ketujuh paling ramai dikunjungi di negara tersebut.
Secara purata ia menarik kedatangan 200,000 orang pengunjung setahun manakala Muzium Tintin yang terletak di Louvain-la-Neuve, kurang lebih 20 kilometer (12 batu) dari sini menarik lebih 100,000 pengunjung setahun.
Sebahagian besar pengunjung datang dari Perancis (40 peratus), Belgium sendiri (17.5 peratus), Jerman (5 peratus) dan Sepanyol (4 peratus) – manakala baki 3 peratus lagi datang dari pelbagai pelusuk dunia termasuk China.
Sesuatu yang menarik mengenai Belgium Comic Strip Centre ini ialah ia direkabentuk untuk memenuhi kehendak pelbagai lapisan umur.
Salah satu seksyen yang baru dibentuk didedikasikan untuk Pierre Culliford atau nama penanya ‘Peyo’ orang yang mencipta Smurfs pada lewat tahun 1950-an.
Pada seksyen Perpustakaan Komik pula, para pengunjung diberi ruang untuk membaca komik kegemaran mereka sepanjang hari dengan caj hanya sekitar Euro 50 sen.
Di tingkat atas sekali terdapat ruang pameran yang diperuntukkan untuk hasil karya temporari.
Untuk rekod, pada 1989, yang mana seni komputer masih belum lagi wujud dan komik Manga Jepun masih belum dikenali ramai, terdapat 500 judul buku komik yang diterbitkan dalam bahasa Perancis setiap tahun.
Tetapi hari ini, terdapat lebih 5,000 judul buku komik yang diterbit di Belgium setiap tahun dengan gaya rekabentuk manga mewakili 20 peratus daripada pasaran jualan komik. Industri komik untuk dewasa di Eropah kini semakin berkembang dan Belgium Comic Strip Centre menerima kedatangan semua bentuk komik, kata Auquier. :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: KAKAK KAWASAN