BAGI peminat karya pengarah tersohor Yasmin Ahmad, kini anda boleh meneroka dengan lebih dekat hasil karya beliau di Yasmin At Kong Heng yang dibuka di Ipoh, Perak.
Yasmin At Kong Heng bukan sekadar muzium biasa.
Ia terletak di Ipoh yang merupakan lokasi kegemaran Yasmin yang telah mengabadikan bandaraya ini dalam karyanya termasuk Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime.
Muzium istimewa untuk peminat-peminat Yasmin ini mempamerkan sejarah peninggalan pengarah tersebut antaranya koleksi-koleksi iklan nukilannya yang tidak pernah dilupakan setiap kali menjelang musim perayaan.
Bahan pameran yang ada termasuk dalam bentuk instalasi video, visual multimedia, teks dan grafik, menurut portal Awani.
Pereka terkenal Ng Sek San bertanggungjawab sebagai pereka landskap bagi muzium ini, manakala reka bentuk oleh arkitek Kamil Merican dan pereka hiasan dalaman dipertanggungjawabkan kepada Wei Ming.
Menurut Fatimah Abu Bakar, pembinaan muzium ini bukan berniat untuk mengagung-agungkan Yasmin, sebaliknya sebagai kenangan buat penggemar karyanya.
“Kehadiran Yasmin sering jadi perangsang untuk mengajar kita tentang cinta. Beliau tidak pernah lupa untuk menggalakkan kita sentiasa memaafkan dan kini semuanya terus tersimpan dalam hati kita semua,” kata teman baik Yasmin itu pada majlis memperingati allahyarham.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang muzium ini, bolehlah ke laman Facebook yasminatkongheng. –MYNEWSHUB.CC
Oleh: KAKI JALAN