KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), memberi amaran kepada operator bas sekolah supaya tidak berpakat dalam menetapkan tambang yang dikenakan ke atas ibu bapa pelajar berikutan keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini untuk menyahkawal tambang bas sekolah.
Pengerusi MyCC, Tan Sri Siti Norma Yaakob berkata, operator bas sekolah perlu membiarkan harga tambang bas secara bebas dan sebarang usaha untuk menetapkan harga itu bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
“Akta itu melarang perusahaan termasuk persatuan daripada menetapkan secara langsung atau tidak langsung suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan yang lain bagi pembelian barangan dan perkhidmatan.
“Kenaikan harga bukanlah satu amalan anti persaingan, namun jika kenaikan harga tersebut merupakan hasil daripada pakatan melalui perjanjian-perjanjian penetapan harga oleh mana-mana persatuan atau mana-mana kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, kegiatan seperti kartel ini ialah satu pelanggaran yang serius dibawah akta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Siti Norma, penyahkawalan struktur tambang bas sekolah membolehkan pengendali-pengendali bas sekolah tidak terikat kepada satu struktur tambang tetap tetapi bebas menentukan anggaran tambang masing-masing berdasarkan kos operasi mereka sendiri.
Jelasnya, jjka sesebuah perusahaan didapati bersalah atas pelanggaran Akta, MyCC boleh mengenakan penalti sehingga 10 peratus pendapatan sedunia perusahaan tersebut sepanjang tempoh pelanggaran Akta Persaingan 2010 atau mengenakan mana-mana arahan lain dianggap sesuai untuk memastikan akta itu dipatuhi oleh persatuan dan perusahaan perniagaan pada masa akan datang.
Beliau memberi contoh satu kes baru-baru ini melibatkan kes penetapan harga yang disiasat oleh MyCC iaitu Persatuan Bakeri dan Manisan Sibu yang menaikkan harga manisan dan produk-produk bakeri secara kolektif.
Menurut beliau, MyCC pada 30 September lalu telah mengeluarkan cadangan penalti bernilai RM439,000 kepada 24 anggota persatuan tersebut yang didapati mengambil bahagian dalam perjanjian penetapan harga berkenaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kelakuan oleh persatuan dan perusahaan perniagaan yang sedang atau telah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti penetapan harga perlu menghubungi MyCC di talian 03-2273 2277 atau melalui e-mel di [email protected],” katanya. – mynewshub.cc