DUBAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual memulakan lawatan hari pertamanya di sini dengan menghadiri mesyuarat dua hala dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.
Kunjungan beliau ke bandar raya paling ramai penduduk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini adalah bersempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-10 yang berlangsung di Madinat Jumeirah di sini hingga 30 Oktober.
Najib juga dijangka mengunjungi Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum iaitu Naib Presiden, Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, bersama pemimpin lain.
Turut hadir, Nazarbayev; Presiden Bangladesh, Md Abdul Hamid; Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao; Perdana Menteri Luxembourg, Xaviers Bettel; dan Presiden Bank Pembangunan Islam, Dr Ahmed Mohamed Ali Al-Madani.
Najib yang juga Penaung Yayasan WIEF, kemudian akan menyampaikan ucapan khas pada pembukaan Forum WIEF bertema ‘Usaha Sama Inovasi Untuk Pertumbuhan Ekonomi’.
Perdana Menteri akan menghadiri jamuan tengah hari bersama pemimpin lain sebelum menyaksikan majlis bertukar-tukar memorandum persefahaman dan perjanjian antara syarikat-syarikat Malaysia dan rakan perniagaan masing-masing.
Najib dijangka menerima Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) dan ditemu bual oleh media antarabangsa.
Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga dijangka menghadiri Jamuan Gala WIEF di Madina Arena, Madinat Jumeirah Conference Centre.
WIEF dianjurkan oleh Yayasan WIEF dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Dubai.
Najib tiba di sini kelmarin untuk lawatan kerja tiga hari dan dijadual pulang pada 30 Oktober.
Ini adalah kunjungan kedua beliau ke UAE selepas lawatan pertama ke Abu Dhabi pada Mei. – BERNAMA