PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di Bangunan Perdana Putra di sini.
Mesyuarat kira-kira dua jam itu antara lain membincangkan berkenaan inisiatif dan program bagi memperkasa ekonomi Bumiputera sebelum Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 pada Jumaat depan.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Sarigar Abdullah, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh.
Majlis Ekonomi Bumiputera ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera, sebagai peneraju utama strategi untuk memperkasa ekonomi Bumiputera. – BERNAMA