KOTA BHARU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini petang ini untuk lawatan ke negeri ini.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada 2.55 petang disambut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Kelantan serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Perdana Menteri kemudian bertolak untuk menghadiri majlis perjumpaan dengan masyarakat Siam Kelantan di Kampung Jubakar, Tumpat.
Selepas itu, beliau dijadual menunaikan solat Asar di Masjid Simpangan, Simpangan, Tumpat serta melawat Pondok Simpangan iaitu pusat pengajian Islam berhampiran masjid berkenaan.
Najib akan mengakhiri lawatannya dengan menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Pusat Khidmat Rakyat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 5 petang. – BERNAMA