Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dikenali dengan budaya kerja yang sederhana dan begitu aktif turun padang bersama dengan rakyat.
Hari ini di laman Facebooknya, gambar yang dimuatnaik berkaitan mesyuarat bersama kakitangan di rumahnya sebagai persediaan untuk pembentangan Bajet 2015 mendapat komen positif ramai di Facebook.
[BACA – Tok Pa Hadir Tonton Ustaz Kazim, Beliau Duduk Bersila Je.. ]
Kebanyakan dari mereka terkejut kerana Mustapa yang mesra dikenali sebagai Tok Pa sanggup membawa kerja sampai ke rumah demi menyelesaikan urusan pentadbiran demi negara.
Gambar itu menunjukkan Tok Pa sedang berbincang sesuatu dengan beberapa kakitangannya di rumahnya dipaparkan di laman Facebooknya pagi tadi.
Pada Jumaat ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan ucapan Bajet 2015 bagi mengumumkan perbelanjaan kerajaan bagi tahun depan.
Antara komen yang diterima Tok Pa ialah keprihatinan seorang pengguna Facebook yang begitu simpati apabila melihat seorang pemimpin yang mempunyai kaliber sebegitu rupa sehingga sanggup mengadakan mesyuarat sampai ke rumah.
Tok Pa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan sememangnya kuat bekerja dan bersederhana dalam urusannya dengan rakyat dan tidak terlalu mementingkan protokol dalam kerjanya.
Mungkin gambar yang dikongsikan Tok Pa hari ini hanyalah satu daripada banyak tugas mahupun perbincangan yang terpaksa dibawa pulang sehingga ke rumah biarpun waktu kerja rasminya telah selesai. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K