KUALA LUMPUR – Pengguna lebuh raya yang ingin pulang ke destinasi masing-masing sempena sambutan Aidiladha hujung minggu ini dinasihat agar mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS).
PLUS dalam kenyataan di sini pada Jumaat berkata TTA yang dikeluarkan mulai hari ini sehingga 6 Okt depan dirancang bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di sepanjang lebuh raya berkenaan.
“PLUS menjangkakan jumlah peningkatan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan pada cuti perayaan Aidiladha pada Ahad ini,” menurut kenyataan itu.
TTA yang dikeluarkan oleh PLUS pada cuti musim perayaan dan hari-hari puncak telah berjaya membantu mengurangkan kesesakan lebuh raya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 atau mengikut laman Twitter Plustrafik atau memuat turun aplikasi ‘Plus Mobile’ menerusi telefon pintar dan tablet.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan PLUS memaklumkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah di Lebuhraya Linkedua akan ditutup sementara pada Selasa dan Rabu depan bagi kerja-kerja penyelenggaraan.
Penutupan R&R berkenaan melibatkan Lebuhraya Linkedua dari arah utara di KM5.7 dan arah selatan di KM4.9.
R&R itu ditutup mulai 9 pagi hingga 5 petang pada Selasa dan mulai 3 petang hingga 9 malam pada hari Rabu.
Sehubungan itu, semua gerai, kiosk serta kemudahan lain akan ditutup kepada orang ramai sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dijalankan kecuali stesen minyak. – BERNAMA