KUCHING – Golongan siswazah di Sarawak perlu merebut peluang pekerjaan dan keusahawan yang akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan komitmen kerajaan untuk menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peluang ini terhasil ekoran keputusan kerajaan untuk mengambil kaedah kerjasama sektor awam dan swasta untuk mempercepatkan lagi projek berkenaan.
“Ini bermakna untuk anak-anak yang sedang belajar pada masa ini…dalam tempoh lima tahun akan datang, peluang perniagaan, peluang pekerjaan dalam sektor ini amat cerah sekali,” katanya semasa merasmikan Hari Terbuka Universiti Antarabangsa Unitar Wilayah Sarawak di sini.
Menurutnya peruntukan RM27 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015 untuk melaksanakan projek lebuh raya itu merupakan jumlah besar yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat di Sarawak yang terlibat dalam projek berkenaan.
“Kalau kita dapat satu peratus sahaja daripada projek itu (yang berkos) RM27 bilion, ia sudah memadai untuk mengekalkan atau menampung perniagaan kita dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Fadillah yang juga anggota Parlimen Petra Jaya berkata cadangan pihak universiti untuk membina kampus baharunya di Matang di sini mulai tahun depan merupakan langkah strategik memandangkan kawasan itu pesat membangun.
Menurutnya mulai tahun depan, sebuah lagi jambatan baharu menyeberangi Sungai Sarawak akan dibina untuk menghubungkan bahagian selatan Bandaraya Kuching dengan kawasan berkenaan yang merupakan satu daripada kawasan kediaman dan komersial yang semakin maju.
Katanya jaringan jalan raya di kawasan berkenaan juga akan dinaik taraf menjadi empat lorong selain pembangunan komersial yang kini dilaksanakan oleh pihak swasta.
Terdahulu, Pengerusi Kolej Sidma Unitar Sarawak Prof Dr Mornie Kambrie dalam ucapannya berkata kampus baharu yang dirancang itu akan mempunyai kelengkapan lebih baik berbanding di lokasinya sekarang di Jalan Haji Taha di sini.
Beroperasi sejak 1998, beliau berkata Unitar Sarawak berjaya mengeluarkan hampir 5,000 graduan dan dua daripada mereka berjaya menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah. – BERNAMA