KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah langkah kerajaan mengurangkan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam tadi.
Ketuanya, Suhaizan Kayat mendakwa, langkah tersebut akan membebankan rakyat dalam tempoh jangka panjang kerana harga minyak adalah `domino’ buat harga barang keperluan lain.
Dakwanya, jika harga minyak naik bererti harga barangan lain akan turut naik dan mustahil kerajaan mampu mengawal kenaikan harga barang keperluan walaupun penguatkuasaan dan pemantauan dilakukan ke atas peniaga.
“Nampaknya rakyat tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa lebih mengikat perut, bekerja lebih masa, mencari sumber pendapatan tambahan serta pekerjaan tambahan bagi menampung kehidupan sekeluarga.
“Rakyat berpendapatan kecil adalah golongan terbesar bakal menerima kesan,†dakwanya melalui satu kenyataan hari ini.
Suhaizan turut melahirkan kekesalan kerana kerajaan didakwa mengurangkan subsidi petrol RON95 dan diesel dalam keadaan tergesa-gesa tanpa notis awal kepada rakyat sehingga timbul suasana panik dan kelam kabut untuk mengisi minyak malam tadi.
Justeru, beliau mengkritik mereka yang membuat keputusan itu sudah kekeringan idea sehingga mengambil langkah drastik menaikkan harga minyak tanpa memikirkan impak dan kesan ke atas rakyat
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam memaklumkan pPengurangan subsidi menjadikan harga baharu RON95 meningkat kepada RM2.30 seliter manakala diesel RM2.20 seliter.
KPDNKK bagaimanapun menegaskan kerajaan akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan dengan berhati-hati dan secara berperingkat bagi memastikan kesan minimum terhadap ekonomi selain tidak membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Menurut kementerian tersebut, kerajaan sedar rasionalisasi subsidi memberi kesan kepada masyarakat dan akan terus menyediakan bantuan dan insentif untuk meringankan beban terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Kata KPDNKK, salah satu langkah yang akan diambil kerajaan adalah menaikkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diumumkan dalam Bajet 2015. – mynewshub.cc