Para pemuda yang ingin mengasah dan mencorakkan ciri kepimpinan dalam diri mereka, bolehlah mengikuti kursus kepimpinan bercorak politik di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) di Kelana Jaya.
Penubuhan AKHI merupakan cetusan idea Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang berfungsi sebagai pusat pengkaderan dalam membentuk pemimpin masa depan.
Khairy berkata penubuhan AKHI juga adalah bertujuan mencari pemimpin baru yang bakal menerajui kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO memandangkan umurnya juga sudah menghampiri 40 tahun, had umur bagi keahlian dalam Pemuda.
Beliau turut menyampaikan sesi pertama forum wacana kepimpinan bertajuk Evolusi Politik Anak Muda Malaysia Dulu, Kini dan Akan Datang diadakan dengan dihadiri kira-kira 500 orang yang memenuhi dewan di akademi itu yang terletak di Kelana Jaya.
“Program ini hanya diberitahu di laman-laman sosial sahaja, tetapi Alhamdulillah kita berjaya memenuhkan dewan ini,” kata Khairy.
Malam tadi, kelibat aktivis mahasiswa Adam Adli turut kelihatan hadir dan mendengar ucapan daripada Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan.
AKHI akan dipengerusikan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun.
“Pergerakan Pemuda merasakan bahawa masanya sangat sesuai untuk menubuhkan sebuah entiti untuk meningkatkan wacana intelektual di kalangan anak muda terutama anak muda UMNO bagi memahami dan membincangkan isu-isu terkini dan penting dalam dan luar negara,” kata Pemuda UMNO dalam kenyataan media penubuhan AKHI semalam.
Selain mengadakan kursus kepimpinan, AKHI juga akan menerbitkan artikel berkala dan buku-buku rujukan kontemporari yang dapat menarik minat anak muda.
“AKHI juga akan bertindak sebagai sebuah organisasi pemikir dan penyelidikan dan selain mengadakan forum dan majlis wacana seperti hari ini, akan menjalankan kajian jangka pendek dan jangka panjang dalam isu-isu yang penting kepada rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K | Foto : RIZA RAZAKÂÂ